SRKK AI sasar raih RM20.48 juta melalui IPO di Pasaran ACE

SRKK AI sasar raih RM20.48 juta melalui IPO di Pasaran ACE

YEW Lip Sin (empat dari kiri) selepas Majlis Pelancaran Prospektus SRKK AI di Sheraton Hotel, Petaling Jaya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian transformasi digital, SRKK AI Berhad (SRKK AI), menyasarkan untuk meraih hasil sebanyak RM20.48 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yew Lip Sin berkata, pelaksanaan IPO itu dipacu oleh peningkatan penggunaan penyelesaian berasaskan AI dalam kalangan perusahaan serta potensi besar pasaran berkenaan, termasuk pelaburan AS$2.2 bilion (RM9.01 bilion) oleh Microsoft dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Menurut beliau, penyelesaian berasaskan AI menyumbang 11 peratus atau RM11.8 juta kepada hasil SRKK AI bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

“Kami telah berjaya mengintegrasikan AI ke dalam penyelesaian pelanggan dan melihat peningkatan penggunaan sejak 2022.

“Ini jelas menunjukkan syarikat sedang beralih daripada fasa penerokaan AI kepada fasa pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil IPO akan digunakan untuk memperkukuh strategi ‘AI-first’, termasuk menerusi dua pendekatan utama.

“Pertama, kami akan menubuhkan makmal AI dan akademi AI.

“Makmal AI membolehkan pelanggan memvisualisasikan pelan hala tuju transformasi digital serta menguji penyelesaian terhadap cabaran perniagaan mereka, manakala akademi AI akan melahirkan bakat tempatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Kedua, SRKK AI akan membangunkan penyelesaian analitik data dan risikan perniagaan berasaskan AI,” katanya.

Beliau berkata, syarikat turut merancang membangunkan serta memiliki harta intelek (IP) bagi penyelesaian perisian tersebut, selepas sebelum ini membangunkan penyelesaian AI untuk pelanggan.

Mengulas lanjut, SRKK AI merancang membangunkan platform perancangan rantaian bekalan dan ramalan yang diintegrasikan dengan analitik data serta keupayaan AI.

“Platform ini akan menyokong ramalan permintaan dan pengisian semula inventori bagi sektor pembuatan serta penyedia perkhidmatan makanan dan minuman.

“Selain itu, kami juga membangunkan penyelesaian bagi membantu organisasi memantau dan melaporkan prestasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), termasuk menjana skor ESG, cadangan tindakan serta laporan berasaskan data sebenar,” katanya.

IPO SRKK AI melibatkan terbitan awam sebanyak 64 juta saham baharu dan tawaran jualan 13 juta saham pada harga 32 sen sesaham.

Daripada hasil IPO itu sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk inisiatif pertumbuhan strategik AI, pengembangan ke Indonesia (RM1.84 juta), pembinaan Pusat Operasi Keselamatan (RM3.70 juta), penjenamaan, pemasaran dan promosi (RM1.80 juta), modal kerja (RM4.64 juta) serta kos penyenaraian (RM4.50 juta).

SRKK AI menetapkan dasar dividen dengan sasaran pengagihan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keuntungan bersih disatukan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham.

TA Securities dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN