KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu memperkasa peranan media sebagai rakan strategik dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya rasuah dan salah guna kuasa.
Pengarahnya, Hazrul Shazreen Abd. Yazid berkata, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat sekali gus membantu mengurangkan spekulasi serta salah faham awam terhadap fungsi dan tindakan dilaksanakan suruhanjaya itu.
Katanya, penyebaran fakta yang betul menerusi media dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha pencegahan, penguatkuasaan dan pendidikan antirasuah yang dilaksanakan oleh agensi itu.
“Media adalah rakan strategik SPRM dalam mempromosikan pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
“Peranan ini amat penting bagi mengelakkan berlakunya salah faham dan spekulasi terhadap sesuatu tindakan atau siasatan yang dijalankan oleh SPRM,” katanya pada sesi dialog bersama pengamal media di Pejabat SPRM Terengganu di sini.
Beliau berkata, SPRM Terengganu turut memberi tumpuan terhadap usaha menangani ketirisan dan memperkukuh pemeriksaan antirasuah melibatkan pengurusan dana awam dan agensi kerajaan.
Katanya, pelbagai inisiatif penguatkuasaan dan pencegahan akan terus dipertingk bagi memastikan tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti.
Sementara itu, beliau berkata, SPRM Terengganu akan memperluas kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan berkanun serta agensi penguatkuasaan persekutuan melalui pelaksanaan program bersama. – UTUSAN










