SME Bank perkasa 1,000 usahawan asnaf, jana RM40 juta sejak 2020

SME Bank perkasa 1,000 usahawan asnaf, jana RM40 juta sejak 2020

ZULKIFLI Hasan (dua dari kiri) bersama Mohamad Alamin (tiga dari kanan) dan Samad Majid Zain (kiri) semasa pelancaran SME Bank iTekad Ishraf 4.0 di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) memperkasa hampir 1,000 usahawan asnaf di seluruh negara, menjana pendapatan kira-kira RM40 juta serta mewujudkan 410 peluang pekerjaan menerusi program SME Bank iTekad Ishraf sejak 2020.

Program di bawah rangka kerja kewangan sosial iTekad Bank Negara Malaysia (BNM) itu dilaksanakan bagi memperluas akses ekonomi serta memperkukuh keusahawanan dalam kalangan asnaf dan komuniti kurang mendapat akses kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu bertujuan membantu usahawan asnaf melalui latihan, bimbingan serta sokongan modal permulaan dengan matlamat meningkatkan keupayaan perniagaan mereka sehingga mengubah taraf hidup mereka.

“Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu komited untuk melakukan transformasi dalam pelbagai perkara.

“Ini termasuk berkaitan ekonomi, sosial serta pembangunan modal insan yang berkualiti yang bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan isi rumah masing-masing malah mampu menyumbang dalam kemampanan ekonomi negara.

“Usaha transformasi ini telah mencetus idea yang sangat menyeluruh iaitu gagasan Membangun Malaysia Madani dalam memperkukuh aspek pembinaan sahsiah diri.

“Ia selain memberi penanda aras dalam memastikan masyarakat di negara kita mempunyai pendapatan yang setimpal,” katanya semasa Majlis Graduasi iTekad Ishraf 4.0 SME Bank di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara SME Bank dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) adalah usaha yang sangat komprehensif dalam mewujudkan usahawan asnaf yang lebih kompetitif dan berdaya saing melalui program intervensi berstruktur.

“Matlamat pembangunan asnaf bukan sekadar membantu mereka keluar daripada kemiskinan, tetapi mengangkat mereka menjadi penyumbang kepada masyarakat melalui zakat, sedekah dan peluang pekerjaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, pencapaian program itu membuktikan kewangan sosial Islam mampu memberi impak bermakna dan berkekalan melalui pengukuhan keusahawanan, peningkatan pendapatan serta sokongan pertumbuhan perniagaan asnaf.

“Bagi tempoh 2025 hingga 2026, SME Bank iTekad Ishraf 4.0 terus menyokong kira-kira 420 usahawan asnaf diseluruh negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

“Suntikan modal perniagaan keseluruhan yang disalurkan melalui inisiatif SME Bank iTekad Ishraf sejak 2020 berjumlah RM30 juta dan bagi tahun ini ia membabitkan peruntukan sekitar RM9 juta,” katanya.

Hadir sama, Menteri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Mohamad Alamin.

Selain itu, Samad berkata, selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani, pihaknya komited memajukan keusahawanan inklusif dan pembangunan sosioekonomi mampan melalui pendekatan bersepadu membabitkan modal permulaan, latihan berstruktur dan akses pasaran.

Program SME Bank iTekad Ishraf bermula pada 2020 sebagai inisiatif perintis melibatkan 20 usahawan asnaf dengan dana zakat RM250,000.

Bagi tempoh 2021 hingga 2022, program diperluas kepada hampir 80 peserta dengan peruntukan RM1.07 juta menerusi kerjasama strategik.

SME Bank iTekad Ishraf 3.0 (2023 hingga 2024) diperluas ke seluruh negara dengan penyertaan 400 usahawan di 14 negeri, melibatkan peruntukan RM5.6 juta hasil geran padanan iTEKAD BNM dan rakan strategik.

Program itu turut memperkenalkan inisiatif Ishraf (+) Plus bersama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pasaran dan kelestarian perniagaan jangka panjang.

SME Bank Malaysia melalui pusat latihan Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR) pula menyediakan latihan pemasaran, pendigitalan, pengurusan kewangan dan operasi bagi menyokong pertumbuhan serta peluasan pasaran peserta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN