SUNGAI SIPUT: Penubuhan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah bukan sekadar pembinaan sebuah institusi pendidikan, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam usaha membina masa depan lebih baik untuk generasi Orang Asli di Perak.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, penubuhan sekolah itu juga menjadi mercu tanda penting dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Baginda bertitah, bermula sebagai pusat pengajian dakwah dan fardu ain, sekolah berkenaan berkembang menjadi institusi pendidikan pertama di Perak yang menawarkan kurikulum seragam merangkumi pembelajaran akademik dan agama.
“Setelah melalui tempoh masa lebih tiga dekad, sekolah ini melakar legasi dan sejarah serta mencipta kejayaan membangunkan masyarakat Orang Asli, khususnya di negeri Perak.
“Justeru itu, majlis ini bukan sekadar majlis perasmian sebuah institusi pendidikan, tetapi majlis yang meraikan pencapaian selama 32 tahun sejak penubuhan Sekolah Agama Rakyat Orang Asli pada 11 Februari 1994, untuk memenuhi harapan sebuah masyarakat yang memerlukan pembelaan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah, Kampung Kenang, Sungai Siput (U), di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Baginda bertitah, majlis itu juga merupakan manifestasi komitmen MAIPk dalam merealisasikan wawasan negara untuk memastikan setiap anak, tanpa mengira latar belakang keturunan atau lokasi geografi, mendapat peluang sama menimba ilmu.
Titah baginda, usaha itu penting bagi membolehkan mereka membina masa depan yang lebih baik, sekali gus berpeluang menyumbang secara bermakna kepada agama, bangsa dan negara.
“Pendidikan merupakan kunci utama yang membuka pintu kemajuan, membentuk akhlak, memperkukuh jati diri dan mengangkat martabat sesebuah masyarakat.
“Kemuliaan yang lahir daripada ilmu bukan sekadar kemuliaan duniawi, tetapi kemuliaan yang membawa manusia lebih dekat kepada Allah SWT dan bermanfaat kepada masyarakat,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada Allahyarham Ustaz Haji Halimin Abdolah yang mencetuskan idea penubuhan sekolah berkenaan ketika menjadi Penyelia Mubaligh Islam Negeri Perak.
Menurut baginda, sekolah itu bermula dengan kelas al-Quran dan fardu ain di sebuah surau kampung sebelum berkembang hasil semangat gotong-royong dan dibiayai melalui sumbangan wakaf serta sokongan MAIPk, JAIPk dan masyarakat Orang Asli.
“Sekolah ini mempunyai peranan yang amat strategik dalam landskap pendidikan di Perak apabila ia bukan sahaja berjaya membangunkan modal insan yang berilmu, malah merupakan benteng utuh yang memelihara akidah, syariat, dan akhlak generasi muda.
“Pencapaian anak-anak di sekolah ini juga amat memberangsangkan dan apa yang lebih membanggakan apabila ada di antara mereka, kembali menyumbangkan tenaga dan bakti bagi memajukan pendidikan dan pemikiran Orang Asli di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










