Sindiket bekal telefon bimbit, kad sim untuk penipuan dalam talian tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket bekal telefon bimbit, kad sim untuk penipuan dalam talian tumpas

MOHD. Alwi Zainal Abidin (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas selepas menahan tiga individu yang dipercayai membekalkan telefon bimbit dan kad sim kepada sindiket penipuan dalam talian di Bandar Baru Medan, Ipoh minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis membongkar kegiatan sekumpulan individu dipercayai membekalkan telefon bimbit dan kad sim kepada sindiket penipuan dalam talian selepas menyerbu sebuah kondominium di Bandar Baru Medan di sini, pada Jumaat lalu.

Dalam serbuan pada pukul 1.20 petang itu, polis menahan seorang wanita tempatan dan dua warga China iaitu seorang lelaki dan wanita berusia antara 27 hingga 58 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan membekalkan telefon bimbit dan kad sim kepada sindiket berkenaan sejak awal tahun ini.

Katanya, kumpulan berkenaan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap unit telefon bimbit yang dibekalkan bersama kad sim kepada pelanggan.

“Dalam serbuan itu, pihak polis merampas 1,335 keping kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi, 554 keping kad berwarna putih mengandungi mikrocip dan 409 unit telefon bimbit.

“Turut dirampas ialah tiga komputer riba, lima peranti ‘sim box’, dua unit CPU, dua set monitor, sebuah router dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM310,400,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, tangkapan melibatkan wanita warga tempatan direman sehari pada 20 Jun lalu manakala dua warga asing pula direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

“Sindiket penipuan dalam talian sentiasa menggunakan pelbagai saluran dan rangkaian bagi mengaburi pihak berkuasa, namun polis akan terus mengambil tindakan proaktif bagi membanteras kegiatan tersebut.

“Sehubungan itu, orang ramai supaya tidak terlibat atau membantu sindiket berkenaan termasuk dalam urusan menyewa premis kediaman atau membekalkan peralatan komunikasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN