PETALING JAYA: Penglibatan remaja dalam aktiviti seksual berisiko sejak di bangku sekolah dan asrama, termasuk amalan seks songsang, dikenal pasti sebagai antara faktor yang meningkatkan risiko penularan jangkitan Virus Kurang Daya Tahan Manusia (HIV) di negara ini.
Trend itu dibimbangi apabila data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan HIV masih memberi kesan besar kepada kelompok tertentu, khususnya golongan lelaki dan usia muda.
Majoriti kes HIV di Malaysia melibatkan lelaki iaitu sekitar 90 peratus, manakala kira-kira 75 peratus kes membabitkan individu berusia 20 hingga 39 tahun.
Dari segi taburan negeri, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 34.1 peratus, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 11.4 peratus serta Sabah 10.8 peratus. Kadar jangkitan tertinggi mengikut etnik pula direkodkan dalam kalangan Bumiputera Sabah iaitu 14.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menurut KKM.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pola jangkitan HIV di Malaysia kini tidak lagi didominasi oleh penggunaan dadah suntikan, sebaliknya semakin banyak berpunca daripada hubungan seksual berisiko.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan bahawa aspek tingkah laku seksual dalam kalangan masyarakat termasuk remaja perlu diberi perhatian serius dan ditangani lebih awal melalui pendidikan kesihatan reproduktif.
Katanya, pendedahan awal di sekolah dan institusi pendidikan penting bagi mengelakkan normalisasi tingkah laku berisiko dalam kalangan golongan muda.
“Ramai mengaitkan penggunaan ubat pencegahan HIV atau Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sebagai faktor yang menggalakkan seks bebas. Namun hakikatnya, tingkah laku berisiko itu sudah pun wujud lebih awal dalam kalangan sebahagian masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan, PrEP merupakan langkah intervensi kesihatan awam bagi mengurangkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan individu berisiko tinggi, dan bukannya untuk menggalakkan aktiviti seksual tanpa kawalan.
Tambahnya, walaupun berkesan mengurangkan risiko HIV, PrEP tidak memberi perlindungan terhadap jangkitan penyakit kelamin lain seperti sifilis, gonorea dan klamidia.
Menurutnya, usaha membendung HIV tidak boleh bergantung kepada rawatan semata-mata, sebaliknya perlu digabungkan dengan pendidikan kesihatan seksual, pengukuhan institusi keluarga serta pemantauan tingkah laku berisiko.
“Sekiranya isu ini tidak ditangani dari peringkat sekolah lagi, kita berdepan risiko peningkatan kes pada masa akan datang yang lebih sukar untuk dikawal,” katanya.
Beliau turut menegaskan keberkesanan PrEP hanya dapat dicapai apabila ia diambil mengikut preskripsi serta pemantauan doktor secara berkala, selain penggunaan langkah perlindungan tambahan seperti kondom. – UTUSAN









