KOTA BHARU: “Saya langsung tidak sedar apa yang berlaku kerana tertidur di dalam kenderaan selepas makan. Bila tersedar, letupan bom sudah berlaku.”
Demikian cerita Abdullah Syarapi Abd. Rahman, 45, salah seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan bom di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, selatan Thailand semalam.
Katanya, ketika kejadian dia bersama rakannya, Muhammad Yusri Udin, 38, dalam perjalanan pulang ke Malaysia menaiki kenderaan pelbagai guna (SUV) selepas bermalam di negara berkenaan sebelum singgah untuk makan di Wilayah Narathiwat.
Katanya, selepas selesai makan dia tertidur kerana kekenyangan tanpa menyedari situasi yang berlaku di sekeliling.
“Apabila saya sedar, kejadian letupan sudah berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.
Abdullah berkata, ketika kejadian itu, dia dan rakannya sebenarnya sudah hampir tiba di pintu sempadan Malaysia selepas kurang sejam memulakan perjalanan pulang dari Narathiwat.
Dia bersyukur kerana terselamat daripada kejadian yang boleh meragut nyawa tersebut.
“Saya bersyukur sebab selamat. Kerajaan Thailand sangat baik kerana mahu memberi rawatan sehingga saya sembuh. Tetapi saya memikirkan urusan kerja, jadi saya minta dibawa pulang ke Malaysia untuk menerima rawatan di sini,” katanya.
Abdullah berkata, ahli keluarganya yang menetap di Selangor sudah dimaklumkan mengenai keadaan dirinya selepas kejadian tersebut.
Terdahulu, dua rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden letupan bom di Persimpangan Sapom dipindahkan ke sebuah hospital di Kelantan. – UTUSAN










