PUTRAJAYA: Selepas lebih sebulan menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman menyifatkan tugas baharunya itu sebagai satu cabaran besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata, latar belakang kerjayanya sebelum ini berbeza daripada skop tugas yang dikendalikan sekarang, namun perkara itu bukan alasan untuk mengelak daripada amanah yang diberikan.
“Sepertimana yang anda tahu, latar belakang saya sebelum ini adalah lain daripada skop yang saya kendalikan sekarang ini. Bagi saya, ia merupakan satu cabaran dan kita di peringkat apa sekalipun perlu memikul cabaran tersebut.
“Kita tidak boleh lari daripada cabaran itu. Saya melihat ke hadapan ke arah penambahbaikan organisasi secara keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar Ops Daya di sini, hari ini.
Abd Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 13 Mei lalu bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatannya selepas enam tahun menerajui agensi antirasuah berkenaan sejak 2020.
Dalam sidang media sama, beliau turut memaklumkan operasi penguatkuasaan berskala besar dikenali sebagai Ops Daya yang dilancarkan SPRM sejak 9 Jun lalu masih berjalan dan siasatan terus diperluaskan bagi mengesan syarikat serta individu yang disyaki terbabit dalam tuntutan palsu berkaitan dana insentif kerajaan.
Beliau menegaskan SPRM akan terus mempergiat usaha membanteras rasuah dan ketirisan dana awam demi memastikan integriti sistem penyampaian kerajaan terus terpelihara. – UTUSAN










