PETALING JAYA: Pelakon Adrea Abdullah menegaskan dia tidak kisah diberikan watak sebagai wanita berusia dalam drama atau filem memandangkan sedar akan faktor usianya yang bakal mencecah 50 tahun pada tahun hadapan.
Adrea atau Nik Adrea Nik Abdullah, 49, berkata, meskipun dahulunya sering melakonkan watak wanita muda, Adrea menganggap perubahan fasa watak matang tersebut sebagai satu realiti yang perlu diterima oleh setiap pelakon seiring peningkatan usia.
“Saya sedar diri kerana tahun hadapan usia saya sudah pun mencecah 50 tahun dan saya bukan lagi seorang wanita muda. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana bakat saya masih laku dan diterima dalam industri.
“Sesetengah pihak adakalanya mempertikaikan sama ada saya layak untuk memiliki anak yang berusia 20-an di dalam skrin. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa dalam realiti kehidupan sebenar pun, anak saya memang sudah berusia 21 tahun,” katanya.
Adrea berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui dalam majlis pelancaran dan pengumuman menyempurnakan nama filem The Real Mamu: Maruah dan Darjat di Royal Chulan Kuala Lumpur, pada Isnin.
Dalam pada itu, Adrea turut berkongsi pengalaman melucukan bersama rakan artis senior, Roy Azman, yang menggambarkan bagaimana perkembangan watak yang dipegangnya berubah sepanjang bergelar anak seni.
“Dahulu Abang Roy Azman pernah bergurau mengatakan bahawa saya pernah memegang watak sebagai teman wanitanya, sebelum kemudiannya bertukar menjadi anaknya dalam drama lain. Sekarang saya bagitahu kepada Abang Roy bahawa status watak kami sudah berada pada tahap yang sama.
“Jika kita pandai menjaga diri, kita masih boleh kelihatan muda seperti Datin Maria Farida yang tetap jelita pada usianya. Namun, pembawakan watak matang itu sendiri yang sebenarnya membuatkan seseorang pelakon itu kelihatan lebih dewasa,” katanya.
Untuk rekod, Adrea Abdullah mula dikenali ramai menerusi lakonannya dalam drama bersiri popular seperti Blok 404 dan Sembilu Kasih.









