Sarimah Ibrahim lelong baju, kumpul dana kesihatan mental - Utusan Malaysia

Sarimah Ibrahim lelong baju, kumpul dana kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim bakal melelong pelbagai koleksi pakaian yang pernah digunakannya sepanjang pembabitan dalam pelbagai drama dan filem bagi mengumpul dana sokongan kesihatan mental bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Empati.

Sarimah, 48, berkata, jualan amal Charity Fundraiser Flash Sale itu akan diadakan secara siaran langsung menerusi akaun TikTok rasminya, Isnin ini, bermula pukul 8.30 malam.

Menurut Ikon Empati Malaysia ini, barangan terpakai (pre-love) eksklusif yang pernah digunakannya sepanjang membintangi pelbagai filem dan drama televisyen itu akan dijual pada harga bermula serendah RM30.

“Saya amat teruja dan berbesar hati apabila dijemput menjadi Jurucakap Rasmi Empati. Pendekatan Empati Malaysia yang menekankan aspek kasih sayang, pembinaan komuniti, penjagaan secara holistik, pengurangan stigma dan kerjasama benar-benar mampu menyentuh lebih ramai hati anak muda.

“Usaha ini sangat penting bagi membina masa depan yang lebih baik buat mereka,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, pelantikan Sarimah sebagai Ikon Empati Malaysia amat bertepatan dengan kelantangannya sebelum ini sebagai aktivis yang memperjuangkan kesedaran kepentingan penjagaan emosi dan psikologi dalam kalangan masyarakat.

“Saya berharap orang ramai bukan sahaja dapat memiliki koleksi istimewa daripada perjalanan seni saya, malah turut bersama-sama menyumbang kepada usaha kebajikan yang dijalankan oleh NGO Empati.

“Oleh itu, saya menjemput orang ramai untuk mengikuti siaran langsung tersebut dan bersama-sama menjayakan inisiatif amal ini,” katanya.

Sesi jualan langsung yang berbaki kurang 24 jam itu bakal dijalankan menerusi akaun Tiktok miliknya, @thesarimah, dan kutipan dana menerusi jualan barangan terpakai ni akan disalurkan sepenuhnya bagi menyokong usaha dan program yang dijalankan oleh NGO Empati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN