Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026 dibatalkan 

Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026 dibatalkan 

DATUK ZAHARI SARIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akur keputusan pembatalan Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026 yang sepatutnya diadakan di Felda Ulu Belitong, Sabtu dan Ahad ini yang dijangka dihadiri lebih 5,000 peneroka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Felda Negeri Johor telah diarah supaya tidak meneruskan penganjuran sambutan tersebut.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri kekal komited untuk menghargai, membela dan memperjuangkan kebajikan warga Felda di Johor.

“Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor merupakan acara tahunan yang dinanti-nantikan sebagai wadah menghimpunkan warga Felda Johor dalam suasana penuh muafakat dan kebersamaan.

“Bagi tahun ini, kerajaan Johor bersama pihak Felda telah merancang pelbagai pengisian bagi merai dan menghargai jasa serta sumbangan warga peneroka dan generasi yang telah sekian lama menjadi tunjang pembangunan negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Zahari, antara pengisian itu termasuklah penyerahan hak milik kepada seramai 210 peneroka, selain pelbagai program pembangunan komuniti, pameran agensi, aktiviti belia dan keluarga serta inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada warga Felda.

“Secara keseluruhannya, lebih RM35 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri kepada warga Felda bagi tempoh 2022 hingga Jun 2026.

“Kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan kepada pihak Felda bagi menjayakan sambutan berkenaan selain melaksana pelbagai persiapan dan penyelarasan di pelbagai peringkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN