Salah faham punca dua lelaki parah ditetak - Polis

Salah faham punca dua lelaki parah ditetak – Polis

DENNIS Lim Kwang Keng (kiri) menunjukkan parang yang digunakan oleh sekumpulan lelaki untuk menyerang dua lelaki tempatan di sebuah tokong di Jelutong, Pulau Pinang, Ahad lalu.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perselisihan faham yang tercetus di sebuah kelab hiburan dipercayai menjadi punca dua lelaki tempatan cedera parah selepas diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah tokong di Jelutong di sini kira-kira pukul 4.30 pagi, Ahad lalu.

Difahamkan, mangsa pertama iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun diserang di tokong terbabit selepas diekori sekumpulan suspek susulan satu pertengkaran di sebuah pusat hiburan manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 64 tahun yang dipercayai penjaga tokong berkenaan turut menjadi mangsa selepas cuba meleraikan serangan tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu didapati berpunca daripada salah faham antara salah seorang mangsa dan suspek di lokasi berbeza sebelum serangan berlaku.

“Mangsa pertama mengalami cedera parah termasuk putus jari telunjuk manakala mangsa kedua pula cedera pada bahagian jari kelingking semasa cuba menghentikan serangan berkenaan. Kedua-dua mangsa bagaimanapun stabil dan sedang menerima rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dennis berkata, susulan kejadian itu, polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 38 tahun pada hari yang sama di sekitar daerah Timur Laut bagi membantu siasatan dan hasil soal siasat yang dijalankan, empat daripada mereka mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketika ini katanya, polis sedang mengenal pasti dan mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu selain meneliti latar belakang kumpulan terbabit termasuk kemungkinan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan kegiatan gengsterisme atau tidak.

Sementara itu, beliau berkata, susulan penahanan keenam-enam suspek, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk sebilah parang, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian, enam telefon bimbit, dua motosikal, sebuah kereta dan topi keledar.

“Hasil semakan mendapati, sebahagian daripada suspek ini mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, namun, ujian saringan air kencing terhadap kesemua mereka didapati negatif dadah.

“Mahkamah Majistret George Town bagaimanapun membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 28 Jun ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN