PUTRAJAYA: Pempengaruh yang juga abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu Syed Abdullah Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Space Dollah, yakin adiknya akan dibebaskan daripada semua pertuduhan hari ini.
Syed Abdullah tiba di Mahkamah Persekutuan kira-kira pukul 8.12 pagi dengan mengenakan kemeja dan bersongkok.
Terdahulu, ibu bapa mereka, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, hadir lebih awal iaitu sekitar pukul 7 pagi.
“Saddiq akan bebas,” katanya ringkas ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mahkamah Persekutuan hari ini bakal mengumumkan keputusan rayuan akhir Syed Saddiq sama ada dia akan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman atau kekal menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan pecah amanah.
Sekiranya rayuan itu ditolak, Syed Saddiq akan terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun sebagaimana diputuskan sebelum ini.
Terdahulu, Syed Saddiq berdepan empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan beliau atas semua pertuduhan, termasuk bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan dana pertubuhan itu berjumlah RM1 juta.
Saddiq turut didapati bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan melupuskan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise bagi kegunaan sendiri melalui Rafiq Hakim.
Selain itu, Syed Saddiq turut disabitkan atas dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan wang masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), yang didakwa merupakan hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN










