RUU pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya usaha reformasi besar kerajaan

RUU pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya usaha reformasi besar kerajaan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia membawa Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk dibahaskan serta diluluskan pada sidang Parlimen kali ini selepas mengambil kira hasil sesi libat urus serta penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam meneruskan agenda reformasi institusi.

Menurut beliau, RUU berkenaan merupakan satu reformasi besar yang telah melalui pelbagai proses penelitian sebelum bersedia dibawa semula ke Dewan Rakyat.

“Jemaah Menteri pada hari ini turut membincangkan salah satu rang undang-undang yang kini berada di atas meja Ahli-ahli Dewan Rakyat iaitu rang undang-undang bagi tujuan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Ini merupakan satu usaha reformasi besar yang mana pihak kerajaan dan Jemaah Menteri komited untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Fahmi berkata, sesi libat urus serta dapatan Jawatankuasa Pilihan Khas telah dipertimbangkan, malah RUU itu turut ditambah baik dengan mengambil kira pandangan yang dikemukakan Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Katanya, penambahbaikan tersebut membuktikan pandangan yang dibangkitkan sepanjang perbahasan sebelum ini telah diberi perhatian sebelum dimasukkan ke dalam draf RUU berkenaan.

“InsyaAllah dalam sidang Parlimen ini, pihak kerajaan sedia membawa (RUU ini) untuk dibahas dan diluluskan.

“Namun persoalannya, adakah pihak pembangkang akan menyokong untuk melengkapkan lebih daripada dua pertiga majoriti yang diperlukan memandangkan ini satu reform, satu usaha penambahbaikan yang sangat baik untuk demokrasi negara kita dan akan menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat selama ini,” ujarnya.

Menurut Fahmi, reformasi itu bukan sahaja memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, malah bertujuan memastikan institusi Pendakwa Raya dapat menjalankan fungsinya secara bebas daripada pengaruh pihak eksekutif.

Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli Parlimen tanpa mengira latar belakang politik memberi sokongan terhadap RUU berkenaan bagi membolehkan pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti lebih dua pertiga diluluskan demi memperkukuh institusi demokrasi negara.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu.

Selepas bacaan kedua pada 3 Mac lalu, RUU itu dirujuk ke JKPK untuk diperhalusi dan ia dijangka dibentangkan pada sesi Persidangan Dewan Rakyat kali ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN