'Rumah' mana sekalipun bukan isu, paling penting wakili suara rakyat - Alwiyah

‘Rumah’ mana sekalipun bukan isu, paling penting wakili suara rakyat – Alwiyah

ALWIYAH ketika hadir untuk proses penamaan calon pagi tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib menegaskan bahawa isu lambang parti yang diwakilinya bukanlah agenda utama sebaliknya tumpuannya adalah untuk terus berkhidmat dan menjadi suara masyarakat di kawasan berkenaan.

​Beliau mengulas perkara tersebut susulan wujudnya sentimen berhubung kedudukan politiknya yang kini kembali bertanding di bawah tiket BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

​”Saya sedar, wujud sentimen berhubung kedudukan saya yang kembali bersama BN pada PRN kali ini, namun pendirian saya kekal untuk terus berkhidmat dan merencanakan segala perancangan dan agenda bagi masyarakat di Endau.

​”‘Rumah’ mana sekalipun, bagi saya itu bukan isu utama kerana apa yang lebih penting adalah untuk terus menjadi penghubung dan mewakili suara mereka.

“Saya menawarkan pengalaman, komitmen dan kesungguhan untuk terus membawa pembangunan, memperkukuhkan ekonomi setempat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti atas kepercayaan untuk menggalas amanah besar tersebut sekali lagi.

​”Insya-Allah, dengan sokongan padu seluruh rakyat Endau, kita akan melangkah ke hadapan membina sebuah Endau yang lebih maju, makmur dan sejahtera untuk semua,” katanya

Terdahulu Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempertahankan kerusi DUN Endau pada PRN Johor dibuat selepas parti itu menilai semula kekuatan dan peluang kemenangan di kawasan berkenaan.

Katanya sewajarnya kerusi berkenaan ditandingi oleh calon lama, namun calon berkenaan sudah berhijrah ke parti lain.

Awal bulan lalu, Alwiyah mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk kembali menyertai UMNO sebelum diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi berkenaan pada PRN Johor.

PRN Johor kali ini menyaksikan Alwiyah bedepan lawan empat penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Saiful Nizam Samat, calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Jati awang dan calon Perikatan Nasional (PN), Hasnul Hakimi Hussin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN