KUALA LUMPUR: RT Pastry Holdings Berhad (RT Pastry) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad pada harga 17.5 sen, hampir menyamai harga tawaran awam permulaan (IPO) 18 sen dengan penurunan kecil sekitar 2.78 peratus.
Pada sesi awal dagangan, kaunter berkenaan bergerak dalam jajaran antara 16.5 sen hingga 18 sen.
Setakat jam 9.15 pagi, sahamnya didagangkan pada paras 17 sen, menyusut sekitar enam peratus dari harga IPO selepas lebih 16 juta saham bertukar tangan.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RT Pastry, Lu Chun-Neng berkata, kumpulan mengakui pergerakan harga saham pada sesi awal dagangan tersebut dipengaruhi oleh faktor sentimen kelemahan pasaran yang lebih luas.
“Namun, penyenaraian ini merupakan pencapaian penting dalam sejarah 23 tahun penubuhan syarikat untuk meluaskan rangkaian runcit melangkaui pasaran sedia ada di Lembah Klang.
“Dana yang diraih daripada IPO ini akan memberikan sumber yang kami perlukan untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran berpusat di kilang Seri Kembangan dan Shah Alam bagi memacu kecekapan operasi melalui automasi,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian di Pasaran ACE, di sini hari ini.
Melalui IPO itu, RT Pastry BCR berjaya mengumpul hasil kasar sebanyak RM16.48 million daripada penerbitan 91.54 million saham baharu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7.63 juta diperuntukkan bagi membiayai pembukaan 14 outlet runcit baharu dan dua outlet berskala besar dalam tempoh 2026 hingga 2029, manakala RM0.90 juta digunakan untuk perolehan jentera baharu bagi automasi barisan pengeluaran.
Selain itu, sebanyak RM3.82 juta akan dialihkan untuk pembayaran balik pinjaman bank dalam tempoh enam bulan, manakala baki RM4.13 juta lagi diperuntukkan bagi menampung kos perbelanjaan penyenaraian.
Mengulas prestasi kewangan terkini bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, beliau berkata, syarikat mencatatkan kestabilan fiskal dengan meraih perolehan sebanyak RM60.31 juta, keuntungan kasar RM21.33 juta dan untung bersih (PAT) sekitar RM5.26 juta.
“Prestasi yang seimbang ini didorong oleh permintaan stabil merentasi rantaian produk teras kami dengan segmen produk roti menyumbang RM28.59 juta atau 47.40 peratus, manakala produk pastri menjana RM27.80 juta atau 46.08 peratus daripada keseluruhan perolehan.
“Bagi memastikan pertumbuhan mampan, kami akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual, sekali gus memperluaskan bahagian pasaran borong sebagai pengilang peralatan asli (OEM) kepada rantaian peruncit dan penyedia makanan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk menampung pengembangan output, syarikat turut merancang untuk memperoleh lot industri ringan bagi membina kilang pembuatan baharu dengan keluasan antara 60,000 hingga 80,000 kaki persegi di kawasan Seri Kembangan, Kajang, Balakong atau Semenyih.
Langkah pengembangan fizikal tersebut akan dibiayai melalui kombinasi seimbang antara pinjaman bank, dana dalaman, serta tunai hasil pelupusan bekas kilang lama di Balakong sebelum ini. –UTUSAN










