Rohingya tidak boleh diusir sesuka hati

Rohingya tidak boleh diusir sesuka hati

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) melancarkan buku Strategi Pembeterasan Rasuah Polis DiRaja Malaysia pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia tidak boleh sesuka hati mengusir pelarian Rohingya walaupun berdepan pelbagai desakan kerana isu itu melibatkan pertimbangan kemanusiaan, keselamatan dan tanggungjawab antarabangsa.

Pendekatan terhadap pelarian tidak boleh didorong oleh emosi atau sentimen semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira realiti yang menyebabkan mereka meninggalkan negara asal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan yang diambil perlu bersifat pertimbangan keselamatan dan prinsip kemanusiaan yang seimbang.

Katanya, walaupun terdapat desakan memuncak dan naratif berbentuk emotif terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial yang mahu kumpulan itu diusir segera, tanggungjawab pentadbiran negara menuntut tindakan dan pertimbangan yang jelas.

“Kalau mereka ada pilihan, adakah mereka akan datang ke sini ketika kampung halaman mereka dibakar, wanita dirogol, identiti diri tidak diberikan, masjid dan kampung dimusnahkan.

“Dalam keadaan itu, apa pi­lihan mereka ada? Mereka sanggup menempuh lautan luas, dalam banyak-banyak negara, Malaysia menjadi destinasi mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian

Dalam Negeri (KDN) di sini semalam.

Media melaporkan peti­syen yang menggesa penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula mereka di negara ketiga. Semakan di laman web Change.org mendapati peti­syen Remove Rohingya from Malaysia meraih hampir 450,000 tandatangan setakat semalam.

Petisyen dilancarkan akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa cari penyelesaian alternatif menangani kebanjiran pelarian Rohingya.

Saifuddin berkata, kerajaan tidak sekali-kali berkompromi dalam soal ke­selamatan negara, tetapi pertimba­ngan kemanusiaan juga tidak boleh diabaikan.

“Wujud fitnah kononnya kerajaan seolah-olah memberikan identiti diri secara sewenang-wenangnya kepada pelarian.

“Seolah-olah negara kita ini tidak ada sistem, tidak ada undang-undang. Macam negara koboi, begitu cuba digambarkan aspek keselamatan, tapi tidak, kita tidak akan berkompromi sama sekali

“Kita tidak boleh mengelak daripada menguruskannya. Kena uruskan dengan bijaksana, dengan ihsan tetapi tetap mengambil kira kepentingan keselamatan negara, rakyat dan kedudukan kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Myanmar mengakui mempu­nyai MyKad.

Pada sidang akhbar selepas itu Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen mempergiat pe­nguatkuasaan terhadap war­ga asing yang didapati me­nyalahguna pas lawatan sosial.

Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Imigresen tapi jika membabitkan lesen perniagaan dan premis perniagaan, itu agensi kawal selia yang berkenaan.

“Sebab itu, Perdana Menteri arahkan supaya satu tindakan bersepadu dapat dibuat dan ia mahu tindakan itu sekarang, tanpa tangguh. Itu keputusan Kabinet,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman, berpandangan pela­rian berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) wajar diberi peluang bekerja secara sah bagi membantu mena­ngani kekurangan tenaga kerja dalam sektor 3D, iaitu kotor, berbahaya dan sukar.

Peluang pekerjaan sah dan dikawal selia kepada pela­rian termasuk Rohingya boleh membantu kerajaan mengurus isu komuniti itu dengan lebih berkesan, kata NGO hak asasi manusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN