PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyempurnakan pelancaran lapan buah buku baharu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Antaranya, termasuk enam naskhah ilmiah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu Isu-Isu Pandemik dari Kaca Mata Islam terbitan bersama UniSIRAJ, Biografi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Biografi Ketua Pengarah DBP, Legasi Ulama Melayu, Akhlak dalam Islam serta Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.
Turut dilancarkan dua buku terbitan Galeri Ilmu Media Group berjudul Profesor Yang Membeli Syurga dan Kehilangan karya Datuk Dr. Zaini Mohd Ariff dan Kasih Sayang Tuhan.
Keberangkatan baginda berdua yang diiringi anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana turut bertujuan merasmikan promosi gastronomi negeri Perlis yang merupakan kolaborasi strategik antara Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Restoran Shamiza Mohd Noor Guar Nangka, Perlis.
Ketibaan delegasi diraja disambut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Fauzy Wahab.
Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman; Ahli Luar Bukan Eksekutif Suruhanjaya Kredit Pengguna, Datuk Mohd Muazzam Mohamed; Pengarah Bukan Eksekutif Bebas KPJ Healthcare Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid serta Ketua Pengarang Suara Merdeka, Borhan Abu Samah.
Dalam majlis tersebut, baginda berdua diiringi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamad.
Sempena kunjungan itu, Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis turut melawat beberapa lokasi pameran utama sastera tempatan dan antarabangsa termasuk Reruai Arab Saudi serta Reruai Mufti Brunei yang menjadi antara tumpuan pengunjung.
Kunjungan diraja diakhiri dengan perasmian Promosi Masakan Perlis di Riverside Café & Restaurant, WTCKL.
Promosi berkenaan mengetengahkan menu warisan Kurma Daging Perlis yang disediakan khas oleh Eksekutif Cef restoran tersebut iaitu Muhamad Rusmi Che Dol.
PBAKL 2026 yang memasuki edisi ke-43 berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini dan terus berperanan sebagai platform tahunan terbesar negara dalam memperkukuh ekosistem penerbitan serta memartabatkan budaya membaca. – UTUSAN








