Pusat data prasyarat teroka ekonomi bernilai tinggi - Utusan Malaysia

Pusat data prasyarat teroka ekonomi bernilai tinggi

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (kanan) ketika bercakap dalam sesi bual bicara yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin dalam Program Invest Malaysia yang berlansung di Mandarin Oriental di sini, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangunan pusat data di Malaysia perlu dilihat sebagai prasyarat penting untuk meneroka sektor ekonomi bernilai tinggi, namun tumpuan utama harus kekal kepada aplikasi teknologi yang mampu melonjakkan produktiviti industri pembuatan dan tenaga kerja tempatan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, infrastruktur digital tersebut bertindak sebagai platform kritikal yang menyokong transformasi industri, khususnya dalam mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi.

“Bagi saya, pusat data adalah prasyarat untuk kita menceburi sesuatu yang lebih bernilai. Perkara paling penting ialah kita perlu memberi tumpuan kepada platform dalam industri pembuatan dan aplikasi teknologi yang boleh meningkatkan produktiviti pekerja.

“Pertumbuhan pesat sektor digital ini bagaimanapun perlu diiringi dengan pengurusan infrastruktur mampan, termasuk aspek peralihan tenaga bagi memastikan ia tidak menjejaskan keperluan tenaga domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi forum Mengharungi Ketidaktentuan Luaran, Memperkukuh Daya Tahan pada program Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026, di sini semalam.

Menyentuh mengenai industri semikonduktor, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia bergerak ke arah aktiviti bernilai tambah yang lebih tinggi selepas sekian lama mendominasi segmen hiliran.

Jelasnya, fokus kini diberikan kepada dua keutamaan iaitu meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai semikonduktor melalui aktiviti berteknologi tinggi, serta mempertingkatkan produktiviti pekerja sedia ada dalam sektor pembuatan.

“Apabila kita bercakap mengenai reka bentuk cip (IC design), reka bentuk AI dan teknologi berkaitan, ia memerlukan set kemahiran yang berbeza serta kos yang lebih tinggi.

“Pelaburan asing terus tertarik ke Malaysia kerana kita mempunyai kelebihan tertentu dalam bidang reka bentuk litar bersepadu serta memiliki kumpulan bakat yang berkualiti. Walaupun ada industri memerlukan lebih ramai tenaga mahir, usaha sedang diteruskan untuk menangani perkara tersebut,” katanya. 

Mengulas mengenai kolaborasi strategik, Akmal Nasrullah memberikan komitmen jelas bahawa akses kepada teknologi akan tetap tersedia menerusi persetujuan yang telah dicapai bersama Arm Limited.

“Kini terserah kepada pemain industri untuk melaksanakan dan memanfaatkannya. Kejayaan kita dalam sektor semikonduktor dan AI bukan hanya bergantung kepada kemasukan pelaburan baharu, tetapi juga keupayaan negara membangunkan bakat tempatan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN