Proton e.MAS perluas rangkaian 1,500 pengecas di 500 kondominium

Proton e.MAS perluas rangkaian 1,500 pengecas di 500 kondominium

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PRO-NET, anak syarikat milik penuh Proton Holdings Berhad, memperluas rangkaian pengecasan Proton e.MAS yang kini merangkumi lebih 1,500 titik pengecasan di lebih 500 kondominium dan kediaman bertingkat di seluruh negara.

Melalui aplikasi Proton e.MAS, pemilik kenderaan berkenaan menikmati kadar pengecasan kediaman eksklusif bermula 63 sen/kWh sehingga 31 Disember 2026.

Liputan rangkaian itu turut diperluas di kawasan utama termasuk Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, selain Sabah, Sarawak serta beberapa bandar utama lain.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik adalah penting bagi memenuhi keperluan pelbagai jenis kediaman, termasuk kondominium dan kediaman bertingkat tinggi, seiring dengan peningkatan rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti lestari.

“Dengan kadar pengecasan bermula daripada 63 sen/kWh serta peluasan akses di seluruh negara, kami menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses, praktikal dan kos efektif untuk kegunaan harian.

“Pengembangan ini mencerminkan komitmen berterusan Proton e.MAS dalam menjadikan pemilikan EV lebih lancar dan mudah, khususnya bagi penghuni kediaman bukan bertanah yang tidak mempunyai akses kepada pengecas dinding di rumah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada strategi ekosistemnya yang lebih luas, Proton e.MAS terus mengintegrasikan perkhidmatan pengecasan dan pemilikan dalam satu pengalaman yang bersatu.

“Melalui aplikasi Proton e.MAS, pemilik e.MAS yang menetap di kondominium dan pangsapuri bertingkat terpilih dapat menikmati pengalaman pengecasan yang lebih mudah dan akses yang lebih baik.

“Ini sekali gus membantu mengurangkan kos operasi berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

“Dengan beralih daripada petrol kepada EV, pemilik boleh menjimatkan lebih 30 peratus kos tenaga bulanan berbanding kenderaan berkuasa petrol,” katanya.

Bagi mengakses pengecasan di kondominium melalui aplikasi Proton e.MAS, pengguna perlu membuka aplikasi berkenaan dan memilih fungsi Peta Pengecasan.

Seterusnya, pilih stesen pengecasan di lokasi kediaman serta penyambung yang sesuai berdasarkan label pada pengecas.

Setelah itu, lengkapkan proses pra-pengecasan untuk memulakan sesi pengecasan dan menguruskan sesi tersebut melalui aplikasi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN