PETALING JAYA: Program Mikro Kredit Turun Padang diperluaskan sebagai usaha kerajaan memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro melalui akses pembiayaan, bimbingan perniagaan dan pendigitalan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, program itu dilaksanakan bagi mendekati penjaja dan peniaga kecil secara langsung di peringkat komuniti, selain memahami cabaran yang dihadapi mereka.
Beliau berkata, usaha tersebut juga bertujuan menyalurkan maklumat mengenai pelbagai kemudahan pembiayaan, bantuan perniagaan dan program pembangunan kapasiti yang disediakan kerajaan serta agensi berkaitan.
“Ini usaha sama dengan semua institusi kewangan pembangunan yang memberi mikrokredit kepada peniaga kecil kerana kita merasakan penting untuk menjaga mereka dalam zaman mencabar sekarang.
“Kita mahu memberi peluang kepada peniaga mendapatkan pinjaman supaya mereka boleh mengembangkan perniagaan dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kelana Jaya, di sini hari ini.
Program itu merupakan lanjutan daripada lawatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pasar Tani Taman Melawati pada 23 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Amir berkata, kerajaan tidak mahu usahawan mikro tercicir daripada peluang pembangunan ekonomi hanya disebabkan kekurangan akses kepada pembiayaan atau maklumat.
“Kita mahu memastikan tiada usahawan mikro yang tercicir daripada peluang pembangunan ekonomi hanya kerana kekurangan akses kepada pembiayaan atau maklumat.
“Program ini membawa penyelesaian terus ke lapangan supaya para penjaja dan peniaga kecil dapat memperoleh khidmat bantuan yang diperlukan untuk meningkatkan pendapatan dan memperkukuh perniagaan mereka,” katanya.
Menurut Amir, pembiayaan semata-mata tidak mencukupi sekiranya peniaga kecil tidak dibantu meningkatkan kemahiran mengurus perniagaan.
Katanya, antara aspek penting yang diberi penekanan ialah pengurusan akaun, rekod jualan, literasi kewangan dan penggunaan bayaran digital seperti kod QR.
“Kadang-kadang kalau nak bagi pinjaman sahaja tidak cukup. Apa yang penting, kita juga perlu meningkatkan ketahanan perniagaan.
“Kalau peniaga lebih mahir dan menjaga akaun dengan lebih baik, lebih mudah untuk mereka berkembang dan menjadikan perniagaan lebih maju pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan platform digital juga dapat membantu peniaga membina rekod transaksi yang lebih jelas, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
Katanya, rekod jualan yang masuk terus ke akaun bank boleh menjadi rujukan kepada pihak bank apabila peniaga memohon pinjaman.
Beliau berkata, agensi pelaksana yang terlibat dalam program tersebut ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TEKUN Nasional, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Program ini akan diteruskan di seluruh negara kerana kita mahu lebih ramai usahawan mikro mendapat manfaat daripada kemudahan yang disediakan kerajaan.
“Dengan penglibatan pelbagai agensi, peniaga kecil boleh mendapatkan akses bantuan dengan lebih mudah dan tersusun,” katanya. – UTUSAN










