PAGOH: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong di sini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Pada pilihan raya kali ini, Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan semula bekas Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum ini.
Sementara itu, PH menampilkan C. Subramani, manakala BN diwakili Ahmad Syarie Yusof.
Pengumuman calon-calon terbabit dibuat oleh pegawai Pengurus Pilihan Raya N. 07, Muhammad Hisam Said pada pukul 10.15 pagi selepas proses penamaan di Dewan Kompleks Sukan Pagoh ditutup pada pukul 10 pagi.
“Selepas selesai semakan dilakukan, kami berpuas hati dan tiada calon ditolak kertas penamaannya,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi Sahruddin ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh, sempena Pilihan PRN Johor ke-16, kira-kira pukul 8.50 pagi.
Selain Bukit Pasir, DUN Bukit Kepong turut berada di bawah Parlimen Pagoh yang kini diwakili oleh Muhyiddin.
Pada PRN Johor 2022, kerusi DUN Bukit Kepong dimenangi oleh Sahruddin yang juga Pengerusi PN Johor selepas memperoleh 9,873 undi dengan majoriti 710, menewaskan calon BN, Ismail Mohamed; calon MUDA, Nur Afiqah M. Zulkifli serta calon Parti Pejuang Tanah Air, Md Taib Md. Suhut.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 2,727,926 pengundi berdaftar direkodkan, merangkumi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera bersama pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Pertembungan kali ini dijangka lebih sengit apabila parti-parti utama menampilkan kombinasi calon baharu, penyandang serta bekas wakil rakyat yang kembali bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.
PH bertanding di semua kerusi dengan pembahagian PKR (20), Amanah (19) dan DAP (17), manakala BN turut meletakkan calon di semua kawasan diketuai UMNO (36), MCA (16) dan MIC (4).
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) menyenaraikan calon di 33 kerusi melibatkan Bersatu (16), PAS (11), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (5) dan Pejuang (1).
Pilihan raya ini turut menyaksikan penyertaan MUDA yang bertanding di 4 kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan seorang calon, serta kemunculan sulung Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dijangka bertanding di 15 kerusi.-UTUSAN










