PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh dijadikan penentu terhadap masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana corak sokongan pengundi dalam PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) adalah berbeza.
Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, dakwaan Bersatu sudah hilang daya tarikan adalah tidak berasas dan prestasi parti itu tidak boleh dinilai berdasarkan keputusan PRN semata-mata.
Katanya, pengalaman pada PRN Johor lalu menunjukkan Bersatu kurang menyerlah dalam pilihan raya negeri, namun mencatatkan prestasi lebih baik ketika PRU.
“Bersatu adalah parti yang sudah menapak selama 10 tahun dalam arena politik Malaysia dan pernah memegang jawatan Perdana Menteri. Bersatu tidak akan hilang daya tarikan walaupun sekiranya tidak berjaya dalam mana-mana PRN kerana situasi PRU adalah berbeza.
“Contohnya pada PRN Johor yang lalu, Bersatu kurang menyerlah tetapi sangat menyerlah ketika PRU. Maka, PRN tidak boleh dijadikan garis panduan untuk menentukan masa depan Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berpendapat, parti yang pernah diwakilinya sebelum ini sudah tidak ada masa depan terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mengulas keyakinan parti untuk terus membuktikan relevannya menerusi PRN Johor, Harris berkata, Bersatu mempunyai kelompok penyokong tersendiri yang akan terus menyatakan sokongan terhadap parti itu.
“Insya-Allah, Bersatu mempunyai sasaran tersendiri yang akan memberi sokongan padu kepada parti. Itu akan mengekalkan relevan Bersatu,” katanya. – UTUSAN










