PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula Sabtu ini.
Lapan daripada kerusi itu adalah milik penyandang dari UMNO melibatkan DUN Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar dan Bukit Permai.
Lima lagi kerusi adalah milik penyandang dari DAP iaitu Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai dan Senai manakala dua lagi kerusi di Bukit Batu dan Puteri Wangsa masing-masing dimenangi oleh PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) semasa PRN lalu.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli memberitahu, senarai penuh calon parti itu akan diumumkan pada Jumaat ini bersempena pelancaran Trak Kancil di Johor Bahru.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kerusi-kerusi yang dinilai itu adalah berdasarkan faktor latar belakang dan kecenderungan pengundi berdasarkan dapatan-dapatan kaji selidik dan data yang telah dijalankan sejak enam bulan lalu.
“Sambutan terhadap Bersama setakat ini adalah berdasarkan keahlian mengikut unit Parlimen dan kecenderungan ahli-ahli di kawasan terbabit, kesesuaian calon-calon dari kalangan perintis Bersama di Johor dan calon-calon terbuka yang menawarkan diri untuk bertanding di kerusi-kerusi tersebut.
“Ia juga dinilai berdasarkan kemampuan parti itu mengendalikan kempen pilihan raya secara berkesan di kerusi-kerusi tersebut,” katanya hari ini.
Rafizi berkata, PRN Johor bukan sahaja medan berebut kerusi dan pangkat untuk orang-orang politik tetapi adalah peluang untuk merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan masa depan negara dan rakyat. – UTUSAN










