JOHOR BAHRU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan manifesto PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata tawaran gabungan itu kepada rakyat negeri ini telah dimuktamadkan.
“Insya-Allah, manifesto PH dijangka akan diumumkan dalam masa sehari dua lagi. Manifesto ini sudah dimuktamadkan, kita tunggu tarikh daripada Pengerusi PH,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang SDS Food Manufacturing Sdn. Bhd. di Jalan Kempas Lama, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Fuziah berkata manifesto itu akan memberi tumpuan kepada kebajikan dan keperluan rakyat Johor.
Beliau juga enggan mengulas mengenai calon Menteri Besar PH kerana calon poster boy belum tentu dilantik menjawat jawatan itu.
“Saya rasa tak perlu kita umumkan, sebab kalau kat Johor ni, umum siapa pun, akhirnya tak semestinya orang itu jadi, kan. Jadi, tak perlu kita umum. Yang penting, prestasi calon itu bagus,” katanya. – UTUSAN










