GEORGE TOWN: Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berikrar untuk terus memperkukuh keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini.
Katanya, bagi tujuan itu, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) akan dimanfaatkan sepenuhnya selain pemantapan profesionalisme pasukan serta kerjasama erat antara polis dan masyarakat.
Beliau berkata, Pulau Pinang kini berada pada tahap keselamatan yang baik dan antara negeri yang merekodkan persekitaran selamat hasil kerjasama erat masyarakat, kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan serta agensi penguat kuasa.
“Justeru, sebagai Ketua Polis yang baharu, saya akan cuba sedaya upaya untuk memastikan bahawa keselamatan dan ketenteraman di negeri ini terus terpelihara dengan sokongan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua peringkat.
“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Polis dan masyarakat perlu sentiasa bekerjasama dalam memerangi jenayah demi kesejahteraan semua,” katanya ketika sesi pertemuan bersama pengamal media di sini, hari ini.
Dennis Lim, 57, yang berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum ini dilantik Ketua Polis Pulau Pinang baharu mengantikan Datuk Azizee Ismail yang bersara wajib pada Sabtu lalu.
Dennis berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti serta menangani kawasan yang dikenal pasti sebagai black spot atau lokasi berisiko jenayah melalui kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.
Sementara itu, beliau berkata, penggunaan teknologi dan AI akan menjadi antara fokus utama kontinjen Pulau Pinang bagi meningkatkan kecekapan operasi keselamatan serta penguatkuasaan pada masa hadapan.
Katanya, polis terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat atau badan korporat yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan AI bagi membantu memperkasakan penyampaian perkhidmatan serta keupayaan pasukan.
“Dunia jenayah kini semakin kompleks dan bersifat tanpa sempadan, khususnya jenayah siber. Justeru, polis perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi bagi menghadapi cabaran keselamatan masa depan,” ujarnya. – UTUSAN










