PETALING JAYA: Punca kematian seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh di Pantai Dalam, di sini, masih menunggu keputusan siasatan makmal.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 8.08 malam pada 23 Jun lalu selepas bayi terbabit dibawa ke hospital oleh ibu dan pengasuhnya dalam keadaan tidak bernyawa.
Beliau berkata, ibu mangsa dimaklumkan oleh pengasuh pada pukul 5.04 petang bahawa bayi itu tidak sedarkan diri selama kira-kira 30 minit ketika berada di rumah pengasuh berkenaan.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang bayi perempuan berusia enam bulan disahkan meninggal dunia selepas dipercayai tersedak susu.
Kejadian itu hanya disedari selepas pengasuh terbabit menghubungi ibu mangsa kira-kira pukul 5 petang bagi memaklumkan bayi berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, ibu mangsa turut meminta pengasuh membawa bayi itu segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan namun perkara itu tidak dilakukan.
Setibanya di rumah pengasuh kira-kira pukul 5.15 petang, ibu mangsa mendapati anaknya berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.
Beliau kemudian bersama pengasuh itu beserta suami pengasuh membawa bayi tersebut ke Unit Kecemasan Hospital Pantai Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa gagal apabila pegawai perubatan hospital berkenaan mengesahkan bayi itu meninggal dunia pada pukul 6.08 petang. – UTUSAN










