Polis masih kesan anak wanita ditahan di Nigeria - Utusan Malaysia

Polis masih kesan anak wanita ditahan di Nigeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak kepada wanita berusia 63 tahun yang ditahan pihak berkuasa Nigeria selepas dipercayai cuba menyeludup 31 kilogram dadah jenis Canadian Loud ke negara itu masih dikesan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha mengesan anak wanita terbabit masih dijalankan.

Mengulas dakwaan bahawa wanita itu diperangkap oleh anaknya untuk membawa masuk dadah berkenaan, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.

Media sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan anak kepada wanita berusia 63 tahun itu.

JSJN telah dimaklumkan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) berhubung penahanan suspek.

Wanita berusia 63 tahun itu ditahan pihak berkuasa Nigeria selepas dipercayai cuba menyeludup 31 kilogram dadah jenis Canadian Loud ke negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed di Lagos, lapor The Guardian Nigeria.

Suspek ditahan pada 17 Mei lalu oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) sebaik tiba di terminal ketibaan lapangan terbang berkenaan.

Difahamkan, wanita terbabit yang memiliki status warga Malaysia naturalisasi itu tiba di Nigeria menaiki penerbangan dari Thailand melalui Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai dalam perjalanan dari Malaysia ke Thailand sebelum ke Nigeria, dengan membawa dua bagasi besar yang mengandungi bahan terlarang terbabit.

Ketika disoal siasat, wanita itu mendakwa perjalanannya itu ditaja oleh anak perempuannya dan dia berada di Thailand kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan berkenaan untuk dihantar ke Nigeria. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN