IPOH: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian seorang pelajar lelaki terjatuh dari bangunan dalam kawasan sebuah sekolah menengah, di sini semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, setakat ini pihaknya masih mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan meneliti semua aspek yang berkaitan bagi membantu siasatan.
Justeru itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
“Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui talian MERS 999 pada pukul 2.49 petang sebelum sepasukan anggota polis bersama petugas perubatan digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan menjalankan siasatan awal.
“Mangsa yang berusia 13 tahun telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, orang ramai diminta menghormati privasi mangsa, keluarga dan pihak sekolah sepanjang tempoh siasatan dan rawatan dijalankan.
Katanya, kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan kebajikan mangsa dan keluarga terus terpelihara.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh. Sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










