PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu melalui proses pembaikan dan pengukuhan dalaman terlebih dahulu sebelum diperluaskan atau menarik lebih ramai pihak menyertainya.
Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha tersebut perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan gabungan itu terus kukuh serta mampu berfungsi dengan baik pada masa depan.
Katanya, PN perlu dianggotai oleh pihak yang berharmoni dan bersatu hati, bukannya sekadar berada dalam satu gabungan tetapi terus berdepan pertelingkahan.
“Rumah PN jika mahu didiami perlu dibaiki. Ahli keluarga yang mendiami perlulah hanya yang berharmoni, bersatu hati. Bukan terus sebumbung tapi berantakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
“Atap bocor diganti, gelegar reput diperbaharui. Serambi boleh ditambah jika perlu agar lebih ramai dapat mendiami,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Annuar menegaskan sebarang usaha memperkukuh dan memperluaskan PN perlu berasaskan landasan yang jelas, sah serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Semua proses ini perlu dibuat dengan cermat dan berperingkat serta mematuhi semua peraturan dan ikut kemampuan.
“Yang penting, rumah yang dibaiki dan didiami mestilah di atas tanah yang dimiliki serta mempunyai geran yang sah. Insya-Allah rumah semakin indah, dan keluarga semakin bahagia,” katanya. – UTUSAN










