PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi sulung ke Turkmenistan bermula hari ini sehingga esok yang bertepatan dengan ulang tahun ke-30 operasi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di negara Asia Tengah itu.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan berkenaan diadakan atas jemputan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov dan merupakan lawatan balas susulan kepada kunjungan rasmi beliau ke Malaysia pada Disember 2024.
Menurut kementerian itu, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala bersama Turkmenistan selepas menghadiri Majlis Sambutan Rasmi di Istana Presiden.
Katanya, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan status hubungan dua hala selain meneroka peluang memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Antaranya termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, minyak dan gas, pertanian dan komoditi, tenaga, pelancongan, pendidikan serta kesalinghubungan antara rakyat, digital, sains dan teknologi.
“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama khususnya perkembangan di ASEAN dan rantau Asia Tengah,” katanya.
Menurut Wisma Putra, Anwar dan Serdar juga dijangka menandatangani Kenyataan Bersama serta menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting termasuk Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Malaysia dan Turkmenistan.
Selain itu, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) turut dijangka dimeterai melibatkan bidang diplomasi, pengangkutan, sains serta minyak dan gas.
Anwar juga dijadual merasmikan Forum Malaysia-Turkmenistan bersama-sama Presiden Turkmenistan.
Pada tahun lalu, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan nilai perdagangan dua hala berjumlah RM75.80 juta.
Turkmenistan turut menjadi destinasi pelaburan utama Petronas dengan jumlah pelaburan syarikat petroleum negara itu mencecah RM52.73 bilion sejak 1996. – UTUSAN










