Piala Dunia FIFA 2026: Polis minta bantuan agensi penguatkuasa antarabangsa kesan judi haram

Piala Dunia FIFA 2026: Polis minta bantuan agensi penguatkuasa antarabangsa kesan judi haram

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis akan mendapatkan bantuan daripada agensi penguatkuasaan antarabangsa sekiranya wujud kegiatan perjudian haram serta sindiket mengatur perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 yang melibatkan rangkaian rentas negara.

​Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, cabaran utama pihak berkuasa ketika ini adalah corak operasi sindiket yang beralih kepada penggunaan teknologi canggih seperti peranti pintar dan aplikasi dalam talian berbanding pertaruhan di premis fizikal.

​”Buat sementara ini, kita memantau ketat operasi sindiket di peringkat domestik namun PDRM sentiasa bersedia mendapatkan bantuan daripada rakan agensi penguat kuasa di luar negara seperti ASEANapol dan Interpol jika wujud keperluan mendesak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Ke-42 di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras di sini hari ini.

​Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di setiap kontinjen untuk memantau rapi dan mengambil tindakan drastik bagi menghentikan sepenuhnya kegiatan perjudian siber terbabit.

Sebelum ini, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan seramai 58 individu disyaki terlibat dalam pertaruhan haram ditahan menerusi pelaksanaan Op Soga XI di seluruh negara bermula 11 Jun lalu.

​Operasi bersepadu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berjaya merampas wang tunai bernilai RM25,684 berserta nilai pertaruhan mencecah RM488,582, selain mengesan 42 laman sesawang promosi perjudian.

​Rantau Asia Tenggara sebelum ini dilaporkan sering berdepan isu serius berkaitan sindiket perjudian bola sepak haram dan kegiatan mengatur perlawanan yang didalangi rangkaian jenayah terancang antarabangsa, yang sering mengeksploitasi pasaran pertaruhan pada kejohanan besar.

Piala Dunia FIFA 2026 yang kini berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico masih di peringkat kumpulan, menyaksikan penampilan 48 pasukan bertanding pada edisi kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN