KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan penganjur ‘Himpunan Gegar TikTok’ yang dijadual berlangsung esok di Ibu Pejabat TikTok, Sunway Velocity, supaya mematuhi undang-undang serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sekiranya ada keganasan atau pelanggaran, polis akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya
“Jika ada perhimpunan sebegini dianjurkan, kita akan pastikan keselamatan semua pihak menjadi keutamaan,” katanya dalam sidang akbar selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya telah menerima maklumat berhubung penganjuran ‘Himpunan Gegar TikTok’ oleh ahli perniagaan, Albert Tei yang akan berlangsung esok di Ibu Pejabat TikTok, Sunway Velocity di sini.
Ujarnya, buat masa ini pihaknya sudah mengadakan mesyuarat dengan pihak penganjur berhubung perhimpunan itu.
“Kita sudah terima maklumat melalui media dan cadangan mengenai penganjuran himpunan itu. Jadi kita akan bantu permudahkan,” katanya.
Terdahulu, Albert Tei memaklumkan kira-kira 100 individu dijangka berhimpun di hadapan Ibu Pejabat TikTok di Sunway Velocity V2 Tower, Kuala Lumpur esok.
Himpunan yang dijadualkan berlangsung pada pukul 10 pagi itu bagi memberi ruang kepada pengguna menyuarakan keluhan berhubung tindakan sekatan akaun dan kandungan yang didakwa menjejaskan kebebasan bersuara di platform berkenaan.
Perhimpunan itu turut dijangka dihadiri individu yang pernah menjadi mangsa sekatan akaun, khususnya mereka yang mendakwa dikenakan tindakan selepas mengkritik Kerajaan Madani. – UTUSAN










