Peruntukan Persekutuan kepada negeri ikut keperluan pembangunan

Peruntukan Persekutuan kepada negeri ikut keperluan pembangunan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agihan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada negeri dibuat berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan kerajaan dibuat berdasarkan keperluan mendesak seperti pembasmian kemiskinan, penaiktarafan infrastruktur, pembinaan sekolah serta penyediaan kemudahan asas khususnya kepada golongan miskin dan masyarakat yang terpinggir.

Beliau berkata, antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi berbanding sebelum ini ialah Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Saya berikan beberapa tumpuan kepada negeri-negeri yang memerlukan perhatian khusus dan projek-projek seperti tebatan banjir yang tidak boleh dilengahkan, naik taraf lebuh raya atau Jalan Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta beberapa projek penting seperti saliran baharu dan persimpangan.

“Untuk Kelantan, hasil purata 2023 hingga 2025 adalah RM946 juta manakala perbelanjaan kerajaan Persekutuan bagi tempoh sama ialah RM8.9 bilion. Untuk Kedah purata hasil yang diperoleh kerajaan Persekutuan ialah RM3.7 bilion, manakala perbelanjaan berjumlah RM9.5 bilion

“Terengganu pula, hasil yang diterima kerajaan Persekutuan ialah RM1.2 bilion dan ditambah RM1.2 bilion lagi daripada hasil petroleum, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.4 bilion, namun perbelanjaan Persekutuan di negeri itu mencecah RM7.8 bilion.

“Perlis pula menyumbang hasil RM419 juta tetapi menerima perbelanjaan RM2.2 bilion manakala Johor yang menyumbang hasil sekitar RM14 bilion menerima peruntukan RM16 bilion. Semua negeri mendapat pertambahan peruntukan,” katanya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Sri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang meminta kerajaan menyatakan penjelasan berhubung dakwaan bahawa peruntukan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip serta usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam menambah baik penyaluran peruntukan supaya memenuhi keperluan rakyat di setiap negeri.

Tambah Anwar, dakwaan kononnya terdapat negeri yang dianaktirikan atau dipinggirkan dalam agihan peruntukan Kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas kerana kerajaan membuat keputusan berdasarkan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Jadi saya harap dengan penjelasan ini dapat menepis tohmahan bahawa negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan.

“Kalau hendak dibandingkan, kerajaan Madani lah yang menyalurkan peruntukan tertinggi kepada negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan berbanding sebelum ini.

“Saya harap penjelasan ini dapat memadamkan tohmahan dan fitnah yang tidak berasas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN