KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Vanidah Imran mengakui sedang berusaha secara perlahan-lahan untuk berhijab sepenuhnya.
Menurut Vanidah, 53, hasrat untuk menutup aurat sudah lama terdetik dalam hatinya dan kini dia dalam proses memperbaiki penampilan diri.
Perubahan tersebut turut terserlah apabila pelakon The Red Kebaya itu mengenakan lilitan tudung ketika menghadiri sesi bersama media bagi previu pementasan Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors, semalam.
“Doakan saya kerana perkara itu menutup aurat pasti berlaku.
“Hati ini sentiasa ada niat jadi saya mencari jalan untuk perlahan-lahan ikut memakai hijab. Itu usaha saya.
“Kalau kita berdoa tapi tak ada usaha pun tak guna kan. Jadi saya perlahan-lahan cuba (menutup aurat),” katanya.
Vanidah berkata demikian ketika ditemui pada sesi pratonton media pementasan Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), di sini, pada Rabu.
Menurut Vanidah, perubahan penampilan bukan satu-satunya aspek yang diberi perhatian, sebaliknya dia turut berusaha memperbaiki aspek kerohanian termasuk menjaga solat.
“Kalau ikutkan sudah lama saya cuba untuk menutup aurat. Disebabkan itu orang boleh nampak di IG saya kejap pakai tudung, kejap tak pakai pula.
“Istiqamah itu bukan mudah tapi kita usaha. Saya kena perbaiki diri dan solat, itu semua saya kena buat.
“Supaya nanti kalau diuji saya buka pula aurat. Takut,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Vanidah meluahkan rasa teruja apabila menerima tawaran daripada pengarah, Profesor Madya Dr. Norzizi Zulkifli untuk menjayakan pementasan berkenaan.
The Comedy Of Errors merupakan karya William Shakespeare yang ditulis sekitar tahun 1592 hingga 1594. Naskhah tersebut mengisahkan sebuah keluarga yang terpisah akibat ribut di laut sebelum pelbagai insiden lucu tercetus susulan kekeliruan identiti melibatkan pasangan kembar seiras.
“Saya sangat teruja apabila mendapat tahu pementasan kali ini diadakan di DFP. Alhamdulillah saya dapat peluang ini.
“Sejujurnya pada awalnya bila Zizi mesej untuk projek ini, saya tak tahu untuk watak apa. Saya terima apa saja.
“Bagi saya dapat bekerja dengan Zizi adalah satu penghormatan kerana dia membawa idea baru tetapi dalam masa sama mengekalkan budaya kita,” katanya.
Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors bakal dipentaskan di DFP pada 25 Julai ini.
Tiket bagi Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors: An Adaptation ditawarkan pada harga bermula RM69 hingga RM169, manakala penyertaan bengkel Mak Yong berharga RM50 seorang. -UTUSAN










