Perjuangan bukan sekadar menang pilihan raya - Anwar

Perjuangan bukan sekadar menang pilihan raya – Anwar

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama masyarakat Cina di Bakri sebelum menyampaikan ucapan semasa ceramah umum Pakatan Harapan di Bakri, Muar, Johor, semalam. -Sumber FB Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Johor diseru untuk terus mempertahankan politik harapan, perpaduan dan kasih sayang demi memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjuangan yang dibawa bukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Katanya, ia sebaliknya menjadi medan menentukan sama ada negara akan terus dipacu politik lama yang sarat dengan kebencian dan salah guna kuasa atau bergerak ke arah tatanan yang berteraskan prinsip pertanggungjawaban, keadilan dan ihsan kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan telah membuktikan bahawa aspirasi tersebut bukan sekadar slogan apabila tatakelola diperketatkan, ketirisan diperangi, pelaburan dipertingkatkan dan keyakinan dunia terhadap Malaysia kembali pulih.

“Bagaimanapun, perjalanan yang dilalui masih panjang dan jauh daripada sempurna sifatnya.

“Masih banyak yang perlu diperbetul, masih ramai rakyat yang perlu dibela dan disantuni, masih banyak suara yang perlu didengar, masih melata lompong-lompong sistem yang perlu ditutup, serta serba serbi permasalahan lain yang perlu diberi tumpuan dan diharungi bersama,” katanya dalam Facebook rasmi miliknya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor untuk terus berdiri teguh mempertahankan politik yang menyatukan dan mencambah kasih sayang.

Dengan dukungan rakyat, kita akan terus bekerja dengan lebih gigih mengangkat martabat negara dan memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang kuat, saksama dan bermaruah,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN