PETALING JAYA: Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) akan mempercepat pelaksanaan pembaharuan di bawah Strategi RESET termasuk melaksanakan projek rintis pelan asas Malaysia Health Insurance and Takaful (MHIT) menjelang akhir Julai bagi menangani kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta.
Kementerian Kewangan berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengambil maklum laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung usaha menangani kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta.
Katanya, JBMKKS turut mengiktiraf kepentingan isu-isu ini terhadap kemampanan sistem penjagaan kesihatan negara secara keseluruhan.
“Cadangan yang dikemukakan oleh PAC secara umumnya selaras dengan hala tuju Strategi RESET serta mengukuhkan keperluan untuk mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan.
“Sehubungan itu, JBMKKS akan meneliti setiap syor yang dikemukakan dan memberikan pertimbangan sewajarnya dalam memperkukuh serta mempercepat pelaksanaan pembaharuan yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, beberapa inisiatif utama turut sedang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk penggunaan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) sebagai mekanisme pembayaran kepada penyedia perkhidmatan kesihatan, peningkatan ketelusan harga dan faktor pendorong inflasi perubatan, pengukuhan standard data, serta penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen dan kerjasama erat antara pembuat dasar, pengawal selia, pembayar serta penyedia perkhidmatan kesihatan dalam menjayakan reformasi sektor penjagaan kesihatan negara,” katanya .
Tambahnya, kesemua inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan swasta kekal mampan, telus dan mampu milik kepada rakyat.
JBMKKS turut menegaskan bahawa matlamat utama Strategi RESET adalah untuk memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tanpa beban kos yang meningkat secara tidak terkawal.
“Jawatankuasa akan terus memantau pelaksanaan Strategi RESET dan memaklumkan perkembangan terkini selepas mesyuarat seterusnya pada Julai,”katanya. – UTUSAN










