PETALING JAYA: Golongan wanita masih belum berjaya menembusi kelompok pembuat dasar dan jawatan kepemimpinan tertinggi sektor awam apabila ketika ini hanya dua sahaja wanita memegang jawatan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.
Keadaan itu memperlihatkan jurang yang masih wujud dalam struktur kepimpinan perkhidmatan awam apabila jawatan strategik seperti KSU, Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU), Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah terus didominasi lelaki walaupun wanita merupakan antara penyumbang terbesar tenaga kerja sektor awam.
Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia, Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Shahabudin berkata, walaupun wanita kini mendominasi sebahagian besar perkhidmatan awam, majoritinya masih tertumpu dalam sektor pelaksana seperti pendidikan, kejururawatan serta kumpulan sokongan termasuk kerani dan pembantu tadbir.
“Halangan yang dihadapi wanita untuk mara ke peringkat tertinggi perlu diteliti secara serius supaya tindakan yang lebih berkesan dapat diambil.
“Antara faktor utama yang mengehadkan kemaraan wanita ke jawatan kepimpinan ialah beban tanggungjawab penjagaan keluarga yang masih banyak dipikul oleh golongan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, golongan wanita membentuk majoriti dalam sektor perkhidmatan awam negara ketika ini apabila mereka mewakili 59 peratus atau meliputi 765,000 daripada keseluruhan kira-kira 1.3 juta penjawat awam.
Sharifah Hapsah berkata, meskipun pelbagai dasar dan strategi diperkenalkan bagi mewujudkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan, tanggungjawab penjagaan seperti mengurus anak, ibu bapa serta individu berkeperluan khas masih menjadi cabaran utama sehingga memaksa sebahagian wanita meninggalkan kerjaya.
“Apabila tanggungjawab penjagaan tidak diringankan, kumpulan bakat wanita yang berpotensi untuk mengisi jawatan kepimpinan turut mengecil,” jelasnya.
Beliau berkata, keadaan itu secara langsung menjejaskan bilangan wanita yang mampu kekal dalam perkhidmatan sebelum berpeluang mengisi jawatan pembuat dasar dan kepimpinan tertinggi sektor awam.
Dalam masa sama, beliau berkata, faktor keyakinan diri turut menjadi antara penghalang yang menyebabkan sebahagian wanita kurang berani merebut peluang untuk mengisi jawatan strategik.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar program pembangunan kepimpinan serta bimbingan diperluaskan bagi melahirkan lebih ramai wanita yang bersedia, berkeyakinan dan kompeten untuk memegang jawatan pembuat dasar.
“Selagi isu ini tidak ditangani secara menyeluruh, usaha meningkatkan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan akan kekal perlahan,” katanya.-UTUSAN










