Penyakit kronik semakin tular dalam kalangan rakyat lebih muda - Utusan Malaysia

Penyakit kronik semakin tular dalam kalangan rakyat lebih muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, kencing manis dan tekanan darah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia pada usia lebih muda menunjukkan keperluan mendesak untuk mengubah pendekatan terhadap penjagaan kesihatan, kata pakar.

Perunding kesihatan dan gaya hidup aktif, Murad Zaidi berkata, trend itu membimbangkan kerana ramai individu hanya mula memberi perhatian kepada kesihatan selepas disahkan menghidap penyakit tertentu.

Katanya, situasi itu berlaku ketika semakin ramai rakyat Malaysia menunjukkan tanda awal masalah metabolik dan penyakit kronik ketika masih berada pada usia produktif.

“Ramai beranggapan masalah kesihatan serius hanya berlaku apabila usia meningkat.

“Hakikatnya, ramai individu seawal lewat 30-an dan awal 40-an mengalami tekanan darah tinggi, keletihan kronik, gangguan tidur serta lebihan lemak badan yang menjadi petunjuk kepada risiko penyakit lebih serius,” katanya yang juga pengasas Badcave Training Facility.

 

Beliau mengulas laporan bahawa lebih 500,000 individu dewasa di negara ini menghidap sekurang-kurangnya empat penyakit tidak berjangkit (NCD) secara serentak, mencerminkan peningkatan beban kesihatan yang semakin membimbangkan.

Pada April lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati NCD seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung terus menjadi ancaman utama kesihatan rakyat.

Murad yang memiliki pengalaman 18 tahun sebagai perunding kecergasan berkata perkembangan itu menunjukkan penyakit berkaitan gaya hidup tidak lagi tertumpu kepada golongan warga emas, sebaliknya semakin banyak menjejaskan kumpulan usia bekerja.

Menurutnya, gaya hidup tidak seimbang, tekanan kerja, tabiat pemakanan tidak sihat dan kekurangan aktiviti fizikal menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatan pada usia lebih awal.

Beliau berkata, walaupun kesedaran mengenai pemakanan sihat dan senaman semakin meningkat, ramai masih gagal mengamalkannya secara konsisten.

“Cabarannya bukan kerana orang ramai tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Cabarannya ialah menjadikan amalan kesihatan sebagai sebahagian daripada rutin harian sebelum masalah kesihatan mula muncul,” katanya.

Murad berkata, usaha pencegahan melalui saringan kesihatan berkala dan perubahan gaya hidup perlu diperkasakan bagi mengekang peningkatan penyakit kronik yang boleh menjejaskan produktiviti individu dan ekonomi negara dalam jangka panjang.

“Kesihatan bukan sekadar isu perubatan. Ia berkait rapat dengan produktiviti, prestasi kerja dan keupayaan seseorang untuk terus menjalani kehidupan yang berkualiti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN