PETALING JAYA: Seorang penjawat awam serta anak perempuannya berusia dua tahun cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Reko, Kajang dekat sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.45 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu penjawat awam berusia 36 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kajang menuju ke Jalan Reko, manakala sebuah lagi kereta dari arah bertentangan ingin masuk ke simpang Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Jalan Reko.
“Akibat kemalangan, dua beranak itu mengalami kecederaan di bahagian kepala serta tangan.
“Seorang lagi pemandu kereta iaitu peniaga lelaki berusia 50 tahun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tanpa pertimbangan yang munasabah.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati bagi mengelak kemalangan.- UTUSAN










