SUNGAI PETANI: Seorang wanita direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian bayi perempuan berusia 11 bulan yang dipercayai terjatuh kerusi ketika berada di bawah asuhannya, Isnin lalu.
Perintah reman terhadap wanita berusia 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Radzi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Suspek yang ditahan tengah hari semalam tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.50 pagi ini, sebelum proses mendapatkan reman selesai kira-kira satu jam kemudian.
Semalam, seorang pengasuh ditahan polis selepas bayi berusia 11 bulan di bawah jagaannya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian bayi terbabit tidak sedarkan diri selepas terjatuh kerusi ketika sedang disuap makan oleh pengasuhnya di Taman Permaipura, Bedong.
Laporan dibuat oleh bapa bayi itu selepas menerima panggilan daripada pengasuh terbabit pada pukul 2.15 petang dan membawa anaknya ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke HSB sehari kemudian.
Bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada pukul 10.42 pagi semalam setelah tiga hari menerima rawatan di hospital. – UTUSAN










