SEPANG: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak berusia setahun 11 bulan dalam kejadian di sebuah rumah di Putra Perdana bulan lalu.
Tertuduh, Nur Syuhaida Jamalluddin, 32, didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Mei 2026 antara pukul 9.31 pagi hingga 11.24 pagi di sebuah rumah di Taman Putra Perdana, Puchong, Sepang.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, Dhiya Falisha Mustaqim dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau dipenjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Bagaimanapun, jika tidak dijatuhkan hukuman gantung, tertuduh juga boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norfarahanim Abdul Halim dan tertuduh turut diwakili seorang peguam. – UTUSAN










