Pendengaran SPRM halang Na’imah urus aset di Jersey 13 Ogos - Utusan Malaysia

Pendengaran SPRM halang Na’imah urus aset di Jersey 13 Ogos

NA'IMAH KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghalang Toh Puan Na’imah Abdul Khalid daripada menguruskan aset luar pesisir di Jersey bernilai kira-kira RM5.57 bilion ditetapkan pada 13 Ogos ini.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menetapkan tarikh berkenaan semasa prosiding pengurusan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala Na’imah diwakili peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

SPRM selaku pemohon memfailkan permohonan pada 25 Jun tahun lalu untuk menghalang Na’imah atau mana-mana pihak yang berkaitan dengannya daripada menguruskan aset luar pesisir di Jersey berjumlah AS$157.5 juta dan £85 juta.

Menurut SPRM, aset berkenaan dipercayai diperoleh oleh balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu atau individu yang mempunyai kaitan dengannya di Malaysia, namun tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) susulan siasatan mengikut Seksyen 4(1) akta sama dan Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ini merupakan permohonan ketiga yang difailkan pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom (UK) dan Singapura.

Pada 19 Jun 2025, SPRM memfailkan permohonan ex parte (sebelah pihak) untuk menghalang Na’imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin Daim, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak yang berkaitan dengannya daripada menguruskan harta di luar Malaysia iaitu wang pelaburan berjumlah £21 juta dan AS$99 juta di Singapura.

Bagaimanapun, perintah larangan itu gagal diperoleh selepas Mahkamah Tinggi pada 22 Mei lalu menolak permohonan berhubung wang pelaburan berkenaan.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 30 Jun ini bagi keputusan permohonan isteri bekas Menteri Kewangan itu untuk membatalkan permohonan SPRM membekukan aset di London yang dikaitkan dengan The Ilham Foundation, bernilai £132 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN