Pendekatan moden warisan tempatan - Utusan Malaysia

Pendekatan moden warisan tempatan

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cendol kekal sebagai antara pencuci mulut tradisional yang paling digemari rakyat Malaysia dan dinikmati merentasi kaum serta generasi.

Namun, di sebalik popularitinya, semakin ramai pengusaha cendol tradisional berdepan cabaran untuk meneruskan perniagaan berikutan faktor usia, kekurangan pewaris serta peningkatan kos bahan mentah.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan warisan makanan tempatan yang sekian lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat negara ini.

Sehubungan itu, rangkaian minuman tempatan Koppiku memperkenalkan Cendol Series, yang diinspirasikan daripada pencuci mulut tradisional berkenaan sebagai sebahagian usaha mengetengahkan semula cita rasa tempatan kepada generasi baharu.

Siri minuman tersebut diperkenalkan dalam tiga pilihan iaitu Cendol, Cendol Durian dan Cendol Latte yang menggabungkan elemen asas cendol seperti santan, gula melaka, jagung dan cendol dengan pendekatan penyediaan yang lebih kontemporari.

Selain memperkenalkan menu berasaskan cendol, syarikat itu turut melancarkan inisiatif Koppiku Cendol Stories yang memberi tumpuan kepada kisah pengusaha cendol tradisional dari pelbagai lokasi di negara ini.

Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sumbangan peniaga kecil yang telah lama mempertahankan warisan makanan tempatan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Pengasas Koppiku, Dr. Rajiv Bhanot berkata, usaha tersebut bukan bertujuan menggantikan cendol tradisional, sebaliknya untuk meraikan dan menghargai nilai budaya yang terkandung di sebalik hidangan berkenaan.

“Kami bukan di sini untuk menggantikan cendol yang rakyat Malaysia kenali. Kami mahu memastikan warisan rasa ini terus dihargai, dikongsi dan tidak dilupakan, termasuk mereka yang telah sekian lama mengusahakannya,” katanya.

Majlis pelancaran yang berlangsung di ibu negara turut dihadiri beberapa personaliti termasuk ahli perniagaan dan podcaster, Asyraf Khalid; pelakon dan usahawan, Tya Arifin; pelakon, Juliana Evans serta pencipta kandungan, Spacedollah.

Menurut Tya, cendol mempunyai tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Malaysia dan usaha memperkenalkan variasi baharu berasaskan hidangan tradisional itu mampu menarik minat lebih ramai golongan muda untuk mengenalinya.

Pelancaran siri minuman tersebut juga dilihat selari dengan usaha memperkukuhkan apresiasi terhadap makanan warisan tempatan menjelang Visit Malaysia 2026, yang turut menampilkan gastronomi sebagai antara elemen penting dalam mempromosikan identiti negara kepada pelancong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN