REMBAU: Semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan diminta menghormati keluhuran Perlembagaan dan kedudukan adat yang diamalkan dalam kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri (UUTKNS) 1959.
Seruan itu disuarakan oleh 17 pemimpin utama adat Luak Rembau dalam sidang akhbar yang diadakan di Balai Undang Luak Rembau di sini petang tadi.
Mereka berkata, krisis pemerintahan adat yang semakin meruncing di negeri kini mampu diselesaikan dengan rukun dan tertib tanpa adanya salahguna kuasa oleh mana-mana pihak.
“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah. Dianjak layu dicabut mati,” kata mereka dalam kenyataan yang dibacakan oleh Dato’ Perba Lembaga Suku Biduanda Waris Nan Dua Carak, Abdul Razak Mohd. Yassin.
Sidang akhbar itu dihadiri tujuh Dato’ Lembaga dan 10 pemimpin utama Luak Rembau.
Sidang akhbar itu dibuat ekoran satu istiadat di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah hari ini yang mempunyai kaitan dengan kedudukan Undang Luak Rembau.
Para pemimpin adat berkenaan menegaskan bahawa istiadat yang diadakan di Seri Menanti itu adalah bertentangan daripada segi adat dan undang-undang termasuk UUTKNS 1959.
Berikutan situasi itu, semua pemimpin adat berkenaan telah menandatangani akuan bersumpah untuk berdiri teguh dan taat setia terhadap Abdul Rahim sebagai Undang Luak Rembau ke-22 yang telah dipilih dan dimahsyurkan dengan sah mengikut adat luak berkenaan.-UTUSAN.










