Ahmad Hasif mahu jadi jurutera kecerdasan buatan

Pelajar cemerlang SPM, Ahmad Hasif mahu bergelar jurutera kecerdasan buatan

AHMAD HASIF Muhaimin Ahmad Mahyuddin,menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik bercita cita menjadi jurutera kcerdasan buatan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, pelajar daripada Maahad Tahfiz tidak pernah keciciran dalam senarai menduduki carta pencapaian akademik luar biasa apabila memperoleh keputusan cemerlang termasuk bagi Ahmad Hasif Muhaimin Ahmad Mahyuddin,yang ingin bergelar jurutera kecerdasan buatan.

Kejayaan tersebut terbukti apabila menjadi sorotan perbualan menerusi platform media sosial.

Kejayaan Ahmad Hasif Muhaimin 18 , graduan aliran Sains Tulen di Maahad Tahfiz Negeri Pahang di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang yang mendapat keputusan 10A+ dan 1A dalam peperiksaan SPM masih segar di ingatan biar pun keputusan telah diumumkan pada hujung bulan Mac lalu.

“Alhamdulillah saya berasa sangat bersyukur kepada Allah SWT dengan kejayaan ini. Apa yang mengujakan saya adalah keputusan ini telah mengatasi sasaran asal saya untuk memperoleh sekurang-kurangnya 6A atau 7A. Pada masa sama saya telah menggembirakan hati ibu dan bapa “, katanya.

Hasil usaha, kerja keras yang dilakukan, berkat doa serta kata-kata semangat yang dititipkan daripada ibu bapa, seluruh ahli keluarga, guru dan rakan seperjuangan ternyata membuahkan hasil apabila dia mendapat keputusan 10A+ dan 1A.

Anak kelahiran Selangor itu percaya sesi pembelajaran bersama guru di dalam kelas adalah merupakan elemen utama dan berkesan baginya memahami sesuatu subjek.

“Di dalam kelas, saya mendapat segala ilmu, tunjuk ajar dan penerangan jelas serta lengkap daripada guru. Saya sentiasa mengemukakan sebarang pertanyaan atau persoalan sekiranya tidak memahami sesuatu tajuk dan pelajaran yang diterangkan oleh guru,” katanya.

Katanya, kekerapan bertanyakan soalan kepada gurunya secara tidak langsung akan menguatkan lagi daya ingatan dan mengukuhkan pemahaman dalam pelajaran itu berbanding belajar secara bersendirian. Disusuli gurunya juga sentiasa mengadakan perbincangan berkumpulan.

“Saya berpendapat cara ini boleh menjadikan suasana pembelajaran bertambah menarik, menyeluruh, interaktif serta praktikal,” kongsinya

Anak bongsu daripada tiga beradik ini tidak terkecuali mengikuti kelas tambahan setiap malam bermula pukul 8 hingga 10 malam kecuali pada hujung minggu. Selepas itu dia akan meneruskan pengulangan kaji terhadap mana-mana subjek atau topik yang sukar dan kurang dikuasai.

 

 

Ahmad Hasif Muhaimin turut bergiat aktif dalam kokurikulum dan aktiviti kemasyarakatan. Sebagai contoh, dia pernah pernah menyertai pelbagai pertandingan inovasi serta program sukarelawan.
Dalam pertandingan Virtual Innovation, Invention and Ideas Competition 2024, dia membangunkan sebuah laman web bagi mempromosikan batik asli lukisan tangan dan berjaya meraih anugerah perak dalam pertandingan peringkat antarabangsa.
Meminati mata pelajaran Biologi dan Bahasa Inggeris, Ahmad Hasif Muhaimin mempraktikkan beberapa kaedah dan formula tertentu. Hasif berpendapat waktu pagi adalah lebih baik dimanfaatkan untuk belajar konsep baharu manakala waktu malam dia akan memanfaatkan untuk menguatkan topik-topik yang memerlukan ulangan berkala seperti Sejarah dan Biologi atau melakukan latihan intensif untuk subjek Matematik Tambahan dan Fizik.
Biar pun sibuk mentelaah pelajaran, dia tetap mencuri masa untuk merehatkan minda dan diri seketika .
“Saya bersyukur dapat mengimbangi masa antara pelajaran, aktiviti luar kokurikulum dan hobi. Antara hobi saya adalah membaca novel fantasi Inggeris, berjoging, bermain permainan video dan mendengar lagu,” katanya.

Ahmad Hasif Muhaimin mempunyai dua orang kakak yang merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM sebelum ini.
Dia mengakui sedikit gentar dengan aura pencapaian kedua-dua kakaknya yang kini sedang melanjutkan pelajaran. Kakak sulungnya dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) manakala yang kedua pula dalam bidang farmasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ibu bapanya, Ahmad Mahyuddin Mohamed dan Nazatul Shahnaz Mohd. Nazri adalah merupakan sumber inspirasi dan pendorong utama baginya. Malah kata Ahmad Hasif lagi, ibu bapanya tidak pernah memaksa atau meletakkan sebarang jangkaan terhadap dirinya.

“Ibu dan bapa sangatlah memahami dan menyokong saya dalam apa jua keadaan. Sifat mereka yang tidak membanding – banding atau merendahkan saya juga merupakan peringatan buat diri saya untuk ‘membayar’ balik jasa baik mereka serta membuktikan kepada mereka bahawa saya sangat terhutang budi dan menghargai akan segala pengorbanan yang dicurahkan mereka sejak saya lahir lagi,” katanya.

Sepanjang menimba ilmu di Maahad, dia mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dan mengambil prasyahadah 5 juzuk. Baginya setinggi mana kebijaksanaan seseorang, ilmu agama paling utama untuk diamalkan sepanjang hidup.

Hasif turut melakar beberapa kejayaan manis antaranya anugerah penghargaan atas keputusan terbaik dalam peperiksaan Biologi dan Bahasa Inggeris pada tahun 2024.

Katanya, sebagai seorang Muslim, apa jua perkara yang ingin dikecapi, kita sebagai hamba Allah perlu menjaga hubungan baik dengan Yang Maha Esa.

“Seperkara lagi seandainya kita melalui keadaan sukar atau kita sedang diuji itu bermakna Allah SWT telah menyediakan sesuatu yang lebih baik atau indah kepada diri kita pada masa akan datang,” katanya berhikmah.

Dia tidak berhasrat untuk mengikuti jejak langkah kerjaya ibu bapanya dalam bidang kedoktoran biar pun pada mulanya dia pernah memikirkannya.

“ Sebagai anak kepada dua orang doktor pakar, saya mendapat pendedahan terus kepada kesusahan menjadi seorang doktor di hospital kerajaan.

“Namun saya sedar betapa besarnya tanggungjawab dan bebanan kerja seorang doktor. Seperkara lagi, saya nampak betapa sibuknya seorang doktor secara fizikal dan mental,”akuinya.

Ahmad Hasif berkesempatan menyertai beberapa program dan pertandingan antaranya Taylor’s International School Kuala Lumpur Model United Nation 2026 bagi menimba ilmu dan pengalaman serta menambah baik kualiti, kebolehan berkomunikasi, membuat penyelidikan dan pengucapan awam dalam bahasa Inggeris.

Dalam perkembangan lain, Hasif baharu mendapat tawaran untuk menyertai Matrikulasi Kejuruteraan di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang.
Menceritakan perancangan masa depannya, Hasif memasang impian bergelar jurutera kecerdasan buatan (AI Engineer ) pada suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN