Pelabuhan Johor sasar kelompok 10 pelabuhan tersibuk di dunia - Utusan Malaysia

Pelabuhan Johor sasar kelompok 10 pelabuhan tersibuk di dunia

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) bergambar bersama penerima lesen E (Bersendi) ketika menghadiri Program Dampingi Rakyat di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor dijangka melakar sejarah sektor maritim negara apabila diramal menembusi kelompok 10 pelabuhan tersibuk dunia tahun depan susulan data pengendalian kargo (throughput) di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang akan disatukan dibawah nama Pelabuhan Johor.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keyakinan itu bersandarkan kelulusan rasmi daripada penerbitan penarafan maritim terkemuka antarabangsa, The Lloyd’s List yang berpangkalan di London, United Kingdom bertarikh 29 Mei lalu.

“Malaysia memohon untuk menyatukan data throughput bagi kedua-dua pelabuhan tersebut sebagai satu entiti pelaporan tunggal. Langkah ini bagi memastikan laporan data pasaran global mencerminkan kapasiti sebenar serta prestasi operasi yang lebih tepat bagi kluster pelabuhan di selatan tanah air.

“Sebelum ini, kedudukan kita agak terasing (secara pelaporan), namun apabila kedua-dua pelabuhan yang ditadbir di bawah Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) ini disatukan, jumlah throughput akan menjadi jauh lebih besar,” katanya ketika berucap pada Program Dampingi Rakyat di Johor Port, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Menurut laporan The Lloyd’s List, Pelabuhan Klang berada di kedudukan 10 pelabuhan tersibuk di dunia pada 2025 manakala PTP berada di posisi ke-15.

Mengulas lanjut, Siew Fook menjelaskan bahawa model penggabungan data berkenaan adalah berpandukan formula kejayaan Pelabuhan Klang yang kini selesa berada dalam kedudukan 10 teratas dunia.

“Ukuran bagi Pelabuhan Klang selama ini sebenarnya mengambil kira gabungan dua terminal berasingan iaitu Westports dan Northport di bawah satu lembaga pelabuhan. Jika kita bergantung kepada satu terminal sahaja di Pelabuhan Klang, angka throughput mereka sebenarnya lebih rendah berbanding PTP.

“Oleh itu, strategi serupa akan kita laksanakan di Johor. Nama baharu itu akan didaftarkan sebagai Pelabuhan Johor dalam carta The Lloyd’s List bermula tahun ini, biarpun jumlah pengendalian kargo di PTP secara individunya adalah lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan nama tersebut dipersetujui kerana jenama ‘Johor’ memiliki skop identiti yang lebih luas dan mewakili seluruh negeri berbanding Tanjung Pelepas yang merujuk kepada lokasi yang lebih spesifik.

“Sasaran meletakkan dua pelabuhan Malaysia, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Johor dalam kelompok elit maritim dunia akan meningkatkan daya saing negara di peringkat global. Kejayaan ini juga akan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan peluang pekerjaan lebih berkualiti kepada rakyat tempatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×