Pasport baharu Malaysia dilengkapi 94 ciri keselamatan, sukar dipalsukan

Pasport baharu Malaysia dilengkapi 94 ciri keselamatan, sukar dipalsukan

KAKITANGAN Bahagian Keselamatan Dan Pasport Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Norshahida Zolkifly menunjukkan spesimen Pasport Malaysia Antarabangsa Baharu pada Majlis Pelancaran di Lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu kini dilengkapi 94 ciri keselamatan iaitu hampir dua kali ganda berbanding pasport sedia ada.

Ia sekali gus mampu membanteras daripada sebarang kegiatan pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen perjalanan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Zakaria Shaaban berkata, penambahbaikan itu merupakan transformasi terbesar terhadap pasport Malaysia bagi memastikan ia terus memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang semakin ketat.

Menurutnya, PMA baharu itu akan mula dikeluarkan secara berfasa bermula esok di 14 pejabat pengeluar pasport di setiap negeri sebelum diperluaskan ke semua 71 pejabat pasport di seluruh negara menjelang Ogos ini.

“Daripada segi keselamatan, kita tambah baik ciri-ciri keselamatan. Kalau sebelum ini terdapat 49 ciri keselamatan, kali ini kita tingkatkan kepada 94 ciri yang menjadikan pasport ini lebih selamat dan sukar dipalsukan.

“Mengikut purata, sebanyak 180,000 hingga 220,000 pasport dikeluarkan setiap bulan dan kita menjangkakan permintaan akan meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran PMA di reruai Imigresen di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen itu masih sah digunakan.

“Kalau pasport masih sah laku, gunakan dahulu. Tidak perlu tergesa-gesa menukar kepada pasport baharu. Buat pembaharuan apabila tempoh sah laku tamat atau apabila benar-benar diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan. PMA terbaharu itu turut dilengkapi teknologi keselamatan tinggi termasuk hologram serta cetakan ultraungu (UV) yang merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik.

Teknologi berkenaan direka bentuk bagi meningkatkan perlindungan terhadap pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan pasport selain mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi memastikan pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai dokumen perjalanan yang selamat dan dipercayai di peringkat antarabangsa.

“PMA baharu ini turut mengetengahkan identiti nasional menerusi elemen sejarah, warisan budaya dan simbolik sistem Raja Berperlembagaan selain memperkenalkan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing sebagai identiti baharu pasport Malaysia menggantikan bunga raya sebagai ikon utama untuk PMA sedia ada.

“PMA baharu turut menawarkan pilihan tempoh sah laku lima atau 10 tahun kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas. Pasport 10 tahun ditawarkan pada kadar RM350, manakala pasport lima tahun kekal RM200,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN