Pasangan suami isteri tidak sempat naik rumah baharu, muat babit kemalangan dua kenderaan

Pasangan suami isteri tidak sempat naik rumah baharu, muat babit kemalangan dua kenderaan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Hasrat sepasang suami isteri untuk berpindah ke rumah baharu selepas pulang bercuti sempena Aidiladha di Kelantan tidak kesampaian apabila kedua-duanya terkorban dalam nahas jalan raya di Kilometer 19, Jalan Endau-Mersing, Mersing, semalam.

Bapa kepada Allahyarham Muhammad Firdaus, 24, Muhamad Bustaman Abdullah, 50, berkata beliau baharu membelikan sebuah rumah di Taman Rinting untuk anaknya dan menantu, Allahyarhamah Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23, bagi memulakan kehidupan baharu.

Katanya, pasangan itu sebelum ini tinggal sementara bersamanya di Taman Kota Masai sejak mendirikan rumah tangga pada Julai tahun lalu.

“Rumah itu saya dah ambil kunci sebelum mereka pulang beraya ke Kelantan. Mereka memang merancang nak berpindah dan beli kelengkapan selepas raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lagi kenderaan.

Kemalangan yang berlaku pukul 5.10 petang itu turut menyebabkan pasangan suami isteri berusia 53 tahun yang menaiki sebuah lagi kenderaan cedera.

Muhamad Bustaman berkata, ketika kejadian berlaku, dia bersama isteri dan dua lagi anaknya yang menaiki sebuah kereta berkonvoi dengan kereta dinaiki kedua-dua mangsa dari Kelantan ke Pasir Gudang.

Katanya, ini merupakan kali pertama anaknya itu pulang bercuti di kampung isterinya di Pasir Puteh manakala dia bersama isteri dan anak pulang ke kampung halamannya di Tumpat.

“Saya bergerak lebih awal untuk pulang ke Johor dan mereka berada di belakang. Tidak lama kemudian saya menerima panggilan daripada polis memaklumkan mengenai kemalangan itu.

“Sebagai ibu bapa, memang sedih kerana kami sekeluarga sudah merancang kehidupan mereka selepas ini. Namun, kami reda dan menerima ketentuan Ilahi,” katanya.

Jenazah Muhammad Firdaus yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, di sini manakala jenazah isterinya akan dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pasir Puteh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN