FATIN NORIZATI MAT ISA dan JOHANNA MUMTAZ WANPA
KUALA LUMPUR: Malaysia masih berupaya menampung kesan gangguan perdagangan di Selat Hormuz menerusi penyesuaian rantaian bekalan, penyerapan kos oleh firma serta pelbagai langkah intervensi kerajaan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali menerima tempias daripada sebarang gangguan di laluan perdagangan strategik itu, namun impaknya terhadap ekonomi negara masih dapat dikawal dan dipantau secara berterusan.
Katanya, keadaan itu berjaya ditangani sebahagiannya menerusi penyesuaian rantaian bekalan, penyerapan kos oleh firma serta langkah-langkah dasar kerajaan yang membantu mengehadkan pemindahan kos kepada harga domestik.
“Kerajaan memberi keutamaan untuk melindungi rakyat, memastikan bekalan keperluan asas kekal stabil, membantu industri terus beroperasi serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Kerajaan telah menggerakkan langkah intervensi melalui empat kluster utama termasuk perlindungan rakyat serta penstabilan bekalan dan harga.
“Pemantauan harian turut dilaksanakan terhadap bekalan dan harga barangan keperluan, selain penyelarasan bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan pemain industri bagi memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong), Datuk Seri Utama Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) dan Datuk Seri Mohd. Puzi Sh. Ali (BN-Pekan) mengenai impak penutupan Selat Hormuz terhadap ekonomi serta perdagangan Malaysia.
Akmal Nasrullah berkata, asas ekonomi negara kekal kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang memberangsangkan.
Tambah beliau, kerajaan turut memperkukuh bantuan dan subsidi bersasar termasuk menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Budi Madani RON95 (BUDI 95), Budi Madani Diesel dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Pada masa sama, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh diversifikasi perdagangan dan pelaburan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi sebarang kejutan ekonomi global pada masa hadapan.
“Langkah ini penting supaya negara mempunyai pilihan sumber bekalan yang lebih luas sekiranya gangguan global berpanjangan,” katanya. – UTUSAN










